Elias Hj Idris
Ada banyak lagi ayat al-Quran yang dijadikan sandaran oleh ahli sufi bagi menjadi sufi sebenar. Mereka memandang al-Quran sama dengan pandangan umat Islam yang lain. Ia tetap kitab undang-undang syariat Islam yang berisi kewajipan beribadat. Syarat-syarat yang terkandung di dalamnya merupakan pembuka jalan bagi ibadat yang diwajibkan - yang membawa seseorang itu menyintai Allah lebih daripada yang lain.

Seluruh ayat al-Quran membawa manusia agar mengenal dan menyintai Allah swt. Ia bukan cinta kosong, tetapi siap dengan penetapan ibadat yang cukup dengan tempoh waktu yang tidak boleh dilanggar atau dilalaikan sedikit pun. Ini semua meruntun perhatian hati manusia lebih daripada yang lain. Inilah tugas yang telah dijelajahi oleh ahli-ahli sufi dan pencintanya sepanjang masa.

Sebenarnya, ahli sufi ini pun tiada apa bezanya dengan umat Islam lain yang sama-sama mengaku beriman. Bezanya cuma dua; ahli sufi suka memilih ibadat yang berat-berat serta memilih pekerjaan yang sepanjang masa untuk Tuhannya. Contoh, jika setiap mukmin diperbolehkan melakukan solat sepertiga malam, biasa setengah malam dan maksimum dua pertiga malam - maka kaum sufi akan memilih yang dua pertiga malam!

Kedua, dalam soal makanan, pakaian dan keperluan hidup yang lain. Mereka akan memilih yang sederhana dan paling minimum. Bukan bererti mereka tidak minat dengan segala yang enak dan kelapangan, tetapi mereka tidak mahu membuang masa dan fikiran dengan lebih banyak tertumpu kepada usaha mencari, mengurus dsb terhadap sesuatu yang bagus dan indah-indah, apatah pula dengan makanan yang sedap-sedap.

Pakaian bulu, umpamanya murah. Ia tidak perlu kerap dicuci dan seterika. Kekuatan dan ketahanannya melebihi kain yang lain. Rasa badan apabila memakainya memang tidak selesa, tetapi apabila sudah lama ia menjadi biasa saja. Ia pun tidak perlu disediakan banyak-banyak.

Makanan dan minuman pun cuma ada dua hitam; air putih dan tamar. Air dan tamar itu pun tidak banyak makan modal sebab tamar sudah tidak perlu dimasak. Ia berkhasiat dan cukup mengenyangkan. Mungkin perut agak sukar menghadamkan, tetapi lama-kelamaan ia sudah tidak memberatkan. Waktu selebihnya dapat digunakan untuk beribadat juga.

Demikian al-Quran merupakan sumber utama bagi kaum sufi. Pada mereka yang tidak mengambil sumber daripada al-Quran akan menghadapi kesukaran untuk memperoleh pengajaran sufi yang lebih tulen.
Elias Hj Idris
Serangan dari Laut

KOSMO keluaran 28 Mac, 2010 telah melaporkan seorang duda maut, sementara teman wanitanya parah ditetak dalam bilik hotel mewah di Port Dickson.

"Suasana hening awal pagi di sebuah pusat percutian mewah di atas air di pantai Port Dickson semalam bertukar gempar apabila seorang ahli perniagaan, Ramli Osman, 40 ditemui mati tersandar di kepala katil. Teman wanitanya, 26 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur cedera parah di kaki dan tangan. Kedua-dua mereka dipercayai ditetak dengan parang.

Dalam serangan kira-kira jam 4.30pagi itu, mangsa dari Shah Alam maut akibat cedera parah di perut.

Polis masih menyiasat motif serangan, tetapi yakin ia bukan rompakan kerana barang berharga kedua-dua mangsa tidak dilarikan. Siasatan awal polis juga mendapati suspek mungkin menceroboh dari laut kerana pintu bilik hotel itu didapati berkunci dari dalam. Kes itu disedari apabila wanita itu menginterkom penyambut tetamu bagi meminta bantuan selepas kejadian.

Mereka didapati mendaftar masuk ke situ pada jam 3.00 petang sebelumnya. Namun hubungan wanita itu dengan si mati masih belum diketahui."


Satu thread telah dibuka oleh diabetes_ESULIN di Tranungkite Online;

Kes Mati Kena Tetak Lepas Berzina

Ingat tau tidak satu kes di sebuah resort,seorang usahawan melayu islam ditetak hingga mati. Usahawan berkenaan umur sekitar 50an dan teman wanitanya 27tahun. Apa mereka buat berdua dalam bilik? Usahawan itu kena tetak dalam jam 4 pagi.


Kes zina dan bunuh. Lepas berzina dan kemudiannya kena bunuh.

Hasilnya ia mendapat reaksi daripada forumers berikut;

banjau wrote:

Betul atau tidak dia berzina hanya Allah yang maha mengetahui...janganlah kita tuduh orang kalau tiada bukti dan tak pasti...dosanya amat besar. Menuduh orang zina ditambah satu lagi dosa fitnah dan umpat juga buka aib orang....orang tu dah mati kita nak minta maaf kat siapa... tak pasal2 buat dosa kering.

ikanlepu wrote:

Takpe la lain kali bila nampak sedara kita ke lelaki-pompuan mengada-ngada, cium-cium depan kita usah la ditegur. Jgn syak apa2 - nanti dosa!

banjau wrote:

Tegur dan menegah dari perbuatan mungkar itu satu kewajipan....tapi tuduh orang zina satu dosa besar macam juga menuduh Anwar liwat...kita tak pasti apa yang berlaku jadi jangan buat dosa fitnah pagi2 ni...maaf bro jangan marah pulak, dah solat dhuha belum?

pendamai wrote;

Kalo dah depan mata tegur la bro...betullah apa yg sedara banjau katekan...kita tak tahu nasib kita kat sane...syurga atau neraka hak Allah..tapi kalo bab banteras maksiat kalo dah nampak depan mata tegur2 la ye n kalo tak mampu berdoa la kite supaya orang yang buat maksiat tu dibuka pintu hatinye ya....

Pak-kaLAH wrote;

Kalau ada hudud..penulis artikel nie wajib disebat 80 kali kerana menfitnah orang zina tanpa membawa 4 saksi.... Kau nie orang PAS ke?

banjau wrote;

Rentikan la topik nie... banyak pulak aib orang kita bukak nanti.... Ingat janji Allah nanti aib kita pulak kena bukak di dunia dan akhirat... baik kita cari formula macam mana nak menang kat Hulu Selangor... dan calon yang terbaik dari PAS, aku ingat ada satu cikgu kat sana namanya Cikgu Syukur yang bertanding kat DUN Hulu Bernam - dia pun boleh juga diketengahkan.

tuai_rumah wrote:

Bukan ke si lelaki tu umor 40thn, tak baik menuduh, kita tau dia berdua2an, tapi belum tau berzina atau tidak....

jepp wrote;

Kalo berdua-duaan dengan bukan muhrim, dikira khalwat.... zina? Wallahualam.

Ketika thread ini sedang hangat diperkatakan, tiba-tiba Moderator TKO menutupnya atas alasan ia berkait dengan hukum qazaf.

Saya tidak ingin mempersoalkan apa-apa sekadar memperbetulkan silap tanggapan teman-teman terhadap maksud fitnah dalam masyarakat. Bagi yang cuba mempertikai teman-teman lain agar jangan cuba memfitnah, pertama sekali harus difahami apa yang dimaksudkan sebagai fitnah?

Fitnah ialah mengada-ngadakan cerita dengan tujuan menimbulkan kebencian orang lain terhadap si mangsa yang tidak bersalah. Jika mewar-warkan si pencuri yang masuk ke dalam kampung, ia bukan dikira fitnah. Demikian juga jika seseorang itu kaki maksiat dan perosak anak dara dan isteri orang; maka kehadirannya itu wajib diwar-warkan. Ia bukan fitnah, tetapi muslihatnya adalah untuk menyelamatkan mereka yang tidak berdosa daripada terjebak menjadi mangsa serakahnya.

Siapakah orang fasik? Mereka terdiri daripada orang-orang mukmin yang melakukan dosa kecil. Jika dosa kecil itu dilakukan secara berulang-ulang maka tarafnya ikut naik menjadi munafik. Orang munafik juga terdiri daripada mereka yang apabila bercakap, dia bohong; apabila berjanji, dia mungkir; apabila diberi amanah, dia khianat; dan apabila bertengkar, dia mesti nak menang. Ada 4 tanda yang jelas dan pasti bagi seseorang yang dikira munafik.

Bagi si pelaku maksiat, berikut ini adalah peringatan Allah swt dalam Surah at-Taubah: 63;

"Tiadakah mereka tahu bahawa barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya untuknya neraka jahannam, serta kekal di dalamnya? Itulah kehinaan yang besar.

Komen: Siapakah kita untuk menafikan ketetapan Allah bagi si pelaku maksiat?

Seterusnya dalam Surah at-Taubah: 73 Allah swt memperingatkan Nabi saw;

"Hai Nabi, berjuanglah terhadap orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan keraslah terhadap mereka. Dan tempat mereka dalam neraka jahannam. Itulah tempat kembali yang jahat."

Seterusnya, bagi orang-orang seperti ini Allah swt telah menetapkan batasan-batasannya. Lihat Surah at-Taubah: 84 berhunung dengan larangan Allah swt.

"Janganlah engkau sembahyang atas seseorang yang telah mati di antara mereka selama-lamanya dan jangan pula engkau berdiri di atas kuburnya (buat ziarah). Sesungguhnya, mereka itu kafir terhadap Allah dan Rasul-Nya dan mereka itu mati, sedangkan mereka itu fasik."

Jadi, sdra pendamai - harap jelas dengan maksud ayat di atas ini. Jangan sdra atau banjau menjadi terlebih pandai daripada Allah swt pula. Dek terlalu nak berhikmah langsung tanpa sedar kita menafikan di antara ketetapan dan larangan Allah swt. Sedangkan, sebagai Pencipta, tentu Dia lebih mengetahui akan segala-galanya.

Bila ketemu kejadian seumpama ini, biarkan.
Siapalah kita, kan pendamai er Pak_kaLAH?
Err... belum tau lagi lepas ni diaorang akan berzina, yeak!
Elias Hj Idris
Contoh lain daripada pekerjaan ahli sufi ada disebut dalam al-Quran pada surah al-Muzzammil: 1-9;

"Hei, orang yang berselimut (dengan selimut kenabian).
Sembahyanglah pada malam hari, kecuali sedikit daripadanya saja.
Iaitu separuh malam atau kurangkanlah sedikit daripadanya.
Atau tambahi daripada seperduanya dan bacalah akan al-Quran dengan tertib.
Kerana Kami akan menurunkan kepada engkau perkataan-perkataan yang amat hebat (besar).
Sesungguhnya beribadat pada malam, lebih tetap dalam hati dan lebih lurus bacaannya,
Sesungguhnya, bagi engkau pada siang hari ada pekerjaan (urusan) yang banyak,
Dan ingatlah (sebutlah) akan nama Tuhan engkau dan berbaktilah engkau kepada-Nya akan sebenar-benar berbakti."

Nabi Muhammad saw ataupun sekelian sahabat baginda telah mengerjakan perintah surah al-Muazzammil ini selama 8 tahun lamanya. Nabi bersolat malam hari dengan sekelian sahabat baginda sampai bengkak-bengkak kaki mereka kerana terlalu lama berdiri. Dan ada yang berdiri dengan memegang tongkat.

Kesukaran  mereka iaitu untuk mengira waktu adakah sudah cukup atau tidak mereka bersolat sepertiga malam minimum atau seperdua malam ataupun dua pertiga malam. Dan waktu dua pertiga malam itu harus dihabiskan dengan solat dan solat itu seperti biasa harus dengan membaca al-Quran dengan tertil, iaitu membaca satu huruf demi satu huruf.

Kemudian ayat-ayat al-Quran yang turun pada malam itu masih sedikit sekali. Iaitu 5 ayat pertama daripada Iqra' surah ad-Dhuha seluruhnya, surah al-Quran seluruhnya, kemudian surah al-Muzzammil ini. Maka sudahlah terang pada setiap rakaat Nabi saw membacakan semua ayat yang sudah turun itu.

Sehingga dalam satu malam, surah Iqra' telah dibacakan beberapa kali oleh Nabi saw. Demikian pula surah Adh-Dhuha, surah al-Qalam, surah al-Muzzammil. Kemudian turun pula surah al-Muddaththir dll. Setelah banyak ayat al-Quran turun maka semakin ramai para sahabat yang menghafalnya. Waktu solat itu digunakan sebaik-baiknya buat mengulangi ayat yang sudah dihafal. Demikian dengan makmum sekelian pun baik juga untuknya menghafal.

Apa yang penting dalam ayat itu cara solat setengah malam menurut yang sedang dan dua pertiga malam yang maksimum. Kedua, orang itu harus mengingat Allah dan memutuskan diri untuk-Nya. Ertinya jangan lagi melaksanakan pekerjaan lain. Contoh, seperti yang telah dilakukan Nabi saw dan sahabat-sahabat. Jangan pula melebihi, sebab ia pasti tidak baik.

Kesimpulannya, pekerjaan orang sufi memberikan waktu sepenuhnya untuk mengingat dan menyebut-nyebut nama Allah dengan solat, dengan membaca al-Quran dan tasbih, tahmid, takbir dan lain-lainnya, juga jika membeca selawat atas Nabi. Ini bererti tabtil kepada Allah swt. Ertinya berhadap dengan keseluruhannya kepada Allah swt dan memutuskan hubungan dengan yang lainya.

Dasar lain daripada ahli sufi tersebut dalam al-Quran surah al-A'raaf: 204;

"Dan ingatlah akan Tuhanmu di dalam dirimu dengan merendahkan diri dengan berasa takut dan ngeri, dengan perkataan yang tidak sampai terdengar-dengar kuat, pada pagi-pagi hari dan petang hari, dan janganlah ada engkau daripada orang-orang yang lalai (dari mengingat dan menyebut nama Allah itu)".  

Dengan demikian menyebut nama Allah harus dengan perkataan yang perlahan; jangan terlalu kuat. Sebab kalau dah terlalu kuat tandanya tidak hormat; dan kalau terlampau perlahan pun tidak kedengaran, tidak berkesan pula di dalam hati dsb.

Itu sebab orang-orang sufi membahagi-bahagikan seuruh waktunya untuk mengingat Allah swt.

Kemudian Allah mengatakan;

"Merekalah orang mukmin yang sebenarnya. Bagi mereka beberapa darjat di sisi Tuhan mereka dan juga ada ampunan-ampunan."

Dalam ayat ini Allah swt menetapkan orang-orang mukmin yang memutuskan diri untuk mengingat dan menyebut Allah dengan solat, membaca al-Quran, bertasbih, tahlil, tahmid, takbir, selawat atas Nabi dsb itu adalah orang mukmin yang tulen, yang akan beroleh kedudukan yang tinggi pada sisi Tuhan serta memperoleh keampunan.

Dalam ayat lain, surah al-Hijri:  99 Allah swt menyatakan; "Dan sembahlah Tuhanmu, sampai datang kepada engkau keyakinan (mati)."

Jangan berhenti sejenak pun daripada mengingat dan menyebut Allah dalam hal dan waktu apa jua sampai datang maut. Inilah tugas yang diusahakan oleh orang-orang sufi.

Kemudian ayat 'Wattaqullah wa-yu'allimukumullah' yang bererti, "Dan takutlah kamu akan Allah, nanti Allah mengajari kamu."

Pada orang sufi, taqwa kepada Allah itu adalah jalan yang harus ditempuh supaya Allah sudi memberikan rahmat cahaya, ilham dan limpahan rabbani. Ia bererti taqwa itu dasar pertama untuk menjadi asas pengharapan sinaran daripada Allah - limpahan cahaya nurani sehingga hati menjadi terang, gembira menempuh segala amal ibadat, benci dan berasa sulit jika akan memasuki pintu-pintu maksiat dsb. Setelah 'isyraq' (sinaran) itu datang, kita harapkan menerima kurnia ilham dan limpahan-limpahan rabbaniah daripada Allah.
Elias Hj Idris
Ahli-ahli suffah merupakan satu golongan fakir muhajirin dan ansar yang tidak punya barang dan harta. Namun hati mereka kaya-raya; ingat akan Allah siang dan malam. Mereka menghafal ayat-ayat al-Quran sebanyak-banyaknya sambil lidahnya tidak sunyi daripada memuji Allah dan mengulangi ayat al-Quran sebagai kalam Allah. Nabi saw telah menempatkan mereka ini di hujung mesjid baginda di Madinah.

Ahli suffah ini merupakan satu kaum yang berpada dengan sedikit sahaja habuan dan keperluan. Mereka tidak mahu tergoda dengan merebut harta-benda dunia yang sentiasa memperdayakan manusia. Mereka menjadi imam kaum fuqara', tidak punya harta, juga keluarga yang mungkin boleh melalaikan mereka daripada mengingati dan memuji Allah siang dan malam. Tidak pernah terkeluar dari kata-kata mereka akan rasa kesal kerana tidak memiliki dunia ini walau sedikit pun.

Mereka lebih senang dengan keadaan begitu, yang selalu ingat akan akhirat.

Rasulullah Diperintahkan Hidup bersama Ahli Suffah

Ahli suffah adalah pelopor utama dari kalangan tasauf. Hidup mereka hanya untuk berinadat dengan ibadat yang tulen. Kehidupan mereka sedemikian rupa menjadi tauladan bagi sekelian pengikut tasauf sepanjang zaman. Ini memandangkan kisah ahli suffah ini disebutkan di banyak tempat dalam al-Quran. Malah Nabi diminta hidup bersama mereka dan jangan berpaling daripadanya.

Setiap ahli sufi tetap berpegang kepada al-Quran dalam setiap pekerjaan. Mereka berpegang dengan intinya sama ada dari segi perkembangan fikiran ataupun filsafat ibadatnya.
Dalam Surah an-Anfaal: 17 Allah memperkatakan tentang perang Badar di mana Rasulullah saw telah melepaskan lebih 1,000 anak panah pada hari itu. Dan Allah menerangkannya;

"Dan tiada engkau memanah (melempar) tatkala engkau memanah, tetapi Allah la yang memanah itu."

Ertinya Nabi memanah dan melepaskan panahannya, sedangkan yang sebenarnya memanah itu adalah Allah swt. Nabi tahu dan akur. Sebab menurut perhitungan biasa pasukan Nabi yang tiga kali jauh lebih kecil daripada musuh tidak akan bisa menang. Ia berlaku sebaliknya. Daripada ayat tersebut Allah menyatakan bahawa segala perbuatan adalah datang daripada-Nya. Kalah dan menang adalah daripada-Nya.

Kedudukan manusia seumpama batang kalam yang berada dalam tangan si penulis. Kalam itu cuma hamba dan yang empunya tangan itu adalah Tuhan. Kita manusia ini bukan tangan, tetapi kalam itu. Maka Allah swt berhak mengatakan;

"Dan tiada engkau yang melempar sewaktu engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar."

Maka demikian juga ketika memahami Surah an-Nur: 35 yang bermaksud; "Allah cahaya langit dan bumi."

Sebenarnya, Allah jua yang menerangi seluruh langit dan bumi.
"Ke mana saja kamu hadapkan mukamu maka di sana ada wajah Allah."

Bagi kaum sufi, kedua-dua ayat ini dan lain-lain ayat sepertinya telah dijadikan tiang-tiang mazhab sufi dalam acara tajalli Allah pada seluruh makhluk-Nya dengan erti tajalli di sini Allah mengetahui, Allah meliputi dan Allah yang melakukan dan memberikan seluruh rahmat di atas dunia ini.

Allah berfirman dalam Surah al-Maiidah: 57;

"Hai sekelian orang yang telah percaya, siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, maka nanti Allah akan mendatangkan satu kaum yang dicintai-Nya dan mereka pun akan menyintai-Nya, kaum-kaum itu merendahkan diri kepada sesama orang mukmin dan keras sekali terhadap sekelian orang yang kafir, mereka melakukan jihad pada jalan Allah, dan mereka tidak akan menakuti cerca orang yang mencerca; demikian kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada yang dikehendaki-Nya."

Dengan demikian sifat orang sufi itu adalah sifat orang mukmin yang tersebut pada ayat itu. Pertama, sifat-sifat mereka sampai ke taraf Allah menyintai mereka. Kedua, mereka pun menyintai Allah. Ketiga, lemah-lembut terhadap sesama orang Islam. Keempat, keras dan penuh kekuatan terhadap semua orang kafir. Kelima, melakukan jihad fi-sabilillah dengan erti yang sebenar. Keenam, dalam melakukan amal dan perintah Allah tidak takut pada cacian orang. Pedomannya, asal saja meredhakan Allah semata-mata.

Ayat-ayat inilah yang menjadi dasar mazhab sufi dalam menyintai Allah dan menyintai sesama manusia mukmin dalam melakukan taat dan jihad; sama ada kecil atau besar. Jihad kecil adalah melawan musuh yang bersenjata dan nampak kelihatan; sedangkan jihad besar ialah melawan nafsu dan syaitan yang memakai senjata rahsia dan tidak kelihatan. Kemudian untuk melakukan jihad umum, iaitu menegakkan kalimatullah sampai kalimah itu berdiri tinggi, dihormati dan dipatuhi oleh seluruh umat manusia.


Nota: Petikan daripada Ilmu Tasauf ini didasarkan kepada tulisan Hj Zainal Ariffin Abbas (Pustaka Aman Press Sdn Bhd) terbitan 1979. Semoga segala kebaikan yang terpancar daripadanya agar dirahmati Allah swt dan meredhai usahanya yang tidak ternilai. Amin.
Elias Hj Idris
Seperti yang telah disebutkan, al-Quran adalah cahaya Allah yang menerangi seluruh langit dan bumi, bukan di dada manusia saja. Maka ahli-ahli tasauf juga telah mengambil fakta dan unsur dari dalam al-Quran, untuk membawa mereka memalingkan diri daripada dunia dengan segala pendapatnya. Kemudian setelah itu dengan unsur-unsur al-Quran juga mereka mencari daya kekuatan yang membawa mereka menghadapi Allah swt dengan sekujur badan pada setiap saat dan menghadapi Allah dengan seluruh perhatian, seluruh harapan dengan penuh cinta sehingga fana di dalamnya.

Al-Quran menjelaskan keadaan dan sifat dunia ini melalui Surah al-Hadid: 20;

"Ketahuilah oleh kamu bahawa hidup dunia ini permainan, perbuatan yang sia-sia, perhiasan-perhiasan, berlumba-lumba membanggakan diri di antara kamu, berlumba-lumba memperbanyakkan anak dan harta, ibarat hujan yang menumbuhkan banyak pohon sehingga menghairankan orang kafir melihat banyaknya yang tumbuh itu, kemudian tidak lama ia menjadi kuning, kemudian menjadi layu kering, sedang di akhirat itu ada azab yang amat hebat, dan ada maghfirah (keampunan) daripada Allah serta keredhaan-keredhaan-Nya; ada pun hayat dunia ini tiada lebih daripada kesenangan yang memperdaya jua."

Filsafat zuhud yang dianuti oleh ahli tasauf semuanya diambil daripada ayat di atas. Oleh itu mereka memandang mudah akan dunia ini. Mereka menangkap apa disebut pada akhir ayat itu - bahawa di akhirat ada azab yang amat hebat sekali dan ada pula keampunan dan keredhaan daripada Allah swt. Jadi mereka cuba hindarkan ancaman pertama itu sejak dari dalam dunia dan mencapai yang kedua itu dengan memperolehnya sejak dari dalam dunia juga.

Dalam al-Quran surah Az-Zaariyat: 54-57 Allah swt berfirman;

"Maka berilah peringatan, engkau tidak akan dicela. Berilah peringatan kerana peringatan itu bermunafaat bagi sekelian orang mukmin. Tiada Aku jadikan manusia dan jin melainkan supaya sekelian mereka menyembah akan Aku. Aku tidak meminta sesuatu rezeki daripada mereka, dan Aku tidak ingin mereka memberikan-Ku makanan."

Keinginan dan kesukaan Allah swt hanya satu, iaitu sekelian manusia dan jin menyembah-Nya, memuji dan memuja-Nya dengan tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan sebagainya terutama pada waktu tengah-tengah malam, waktu menjelang matahari terbit dan waktu hari mulai malam. Kemudian Allah swt menyatakan kepada kita bahawa seluruh langit dan bumi semuanya bertasbih memuji dan memuja-Nya. Demikian juga seluruh isi langit dan bumi, akan tetapi kita manusia tidak mengerti akan tasbih yang mereka ucapkan itu.

Dalam al-Quran surah al-Mukminun: 7 Allah swt mengatakan bahawa sekelian malaikat baik yang muqarrobin atau lainnya membaca tasbih mensucikan Allah sepanjang malam dan siang tanpa henti. Itulah tugas malaikat-malaikat yang besar dan mulia itu, dan dengan kerana itu mereka dekat dengan Allah Yang Maha Besar.

Ini jugalah maka dalam al-Quran surah al-Kahfi: 28 Allah memerintahkan Nabi-Nya suatu perintah yang memberitahukan satu hal yang sangat penting dan besar buat kita;

"Dan sabarkanlah dirimu bersama sekelian orang yang menyeru Tuhannya pagi dan petang, mereka mengharapkan keredhaan Allah dan janganlah engkau palingkan kedua-dua matamu daripada mereka kerana menghendaki perhiasan-perhiasan dunia."

Jadi Rasulullah diperintahkan Allah supaya selama-lamanya bertemankan sahabat-sahabat yang setiap saat menyebut-nyebut nama Allah, yang mengharapkan keredhaan-Nya. Jangan memalingkan mata daripada mereka dan jangan diikuti orang-orang yang siang dan malamnya asyik dengan mengumpulkan kekayaan dunia.

Mereka itu antara lain ialah ahli-ahli sufi yang hanya menyintai Allah dan Allah pun menyintai mereka.

Elias Hj Idris
Apabila berlaku sebarang kecelakaan banyak pihak yang terus meletakkannya sebagai takdir. Ia berlaku dengan ketetapan Allah swt bagi menunjukkan kebesaran dan adun iradah-Nya.

Kebalikan kepada mereka yang singkat fikiran mungkin akan beranggapan bahawa Allah swt memang sukakan sesuatu kecelakaan itu menimpa ke atas hamba-hamba-Nya. Sedangkan selama ini kita diajarkan bahawa Allah swt itu bersifat dengan segala sifat terpuji, iaitu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemurah, Maha Lemah-lembut dsb.

Ke manakah sifat-sifat tersebut berikutan satu demi satu tragedi dan kengerian yang berlaku di depan mata?


Buat merongkaikannya, adalah elok kita kembali kepada pokok persoalan di sebalik penetapan takdir Allah swt di atas setiap kejadian.

"Berkata iblis: Hai Tuhanku, demi sebab Engkau menyesatkanku akan kuhiaskan kepada mereka (kejahatan yang ada) di bumi (sehingga mereka pandang baik) dan demi, akan kusesatkan mereka itu semuanya.

"Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas."

Ini sumpah iblis dengan Allah swt daripada Surah al-Hijr: 39-40. Ia berpunca apabila iblis dilaknatkan Allah swt sebaik sahaja dia enggan tunduk kepada Nabi Adam a.s. yang dilantik menjadi khalifah Allah swt di atas muka bumi. Dia menyanggah perintah Allah kerana berasakan asal kejadian dirinya (daripada api) itu lebih baik, berbanding dengan Adam a.s. (yang dijadikan daripada tanah hitam yang dipijak-pijak orang!).

Seterusnya, dia beranggapan bahawa keturunan itu begitu suka menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan keturunan jin dan malaikat begitu tunduk mensucikan Zat-Nya. Dengan angkuh iblis berasakan dirinya adalah hamba yang terbaik!

Iblis masih belum berpuas hati seperti yang disebut dalam surah Al-A'raaf: 17;

"Kemudian aku akan datang kepada mereka (memperdayakan) dari  muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. (Sehingga) kebanyakan mereka, tiada berterima kasih kepada Engkau."

Agak malang apabila ramai di antara tuk-tuk guru yang terus meletakkan setiap kejadian celaka itu pada kehendak takdir Allah swt semata-mata tanpa merujuk kepada persoalan asas tersebut (kaitan dengan ayat).

Perlu diingat, setiap kecelakaan, hatta serangan penyakit dalam badan oleh serangan setan virus yang bernama umil meldam atau segala yang merosakkan itu datangnya daripada iblis terlaknat sesuai dengan sumpahnya. Iblis nakkan seramai mungkin pengikut dari kalangan manusia biar berbondong-bondong masuk ke neraka sama seperti dia. Jadi, sejak saat kedurhakaan itu dia tidak pernah lepa dan berputus asa memohon dan memohon agar kecelakaan dijatuhkan ke atas anak-cucu Adam a.s.

Dan jangan lupa... Allah swt pula membenarkan. Lihat ayat ke-42 ini;

"Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku tidak ada bagi engkau kekuasaan atas mereka, kecuali orang yang mengikut engkau di antara orang-orang yang sesat."
Orang-orang yang sesat itu menjadi pertaruhan - sebagai habuan iblis dan syaitan.

Perlu diingat, iblis adalah hamba Allah swt. Kita orang mukmin pun hamba Allah swt juga. Namun Allah swt itu bersifat adil terhadap sekelian hamba dalam adun pemerintahan-Nya. Maka doa iblis bisa dimakbulkan, sekiranya manusia si hamba itu lupa akan Tuhannya- lalu cenderung untuk menuju sesat! Contoh lupa - terlalu asyik dengan hal keduniaan - mencari rezeki secara melampau sehingga tidak solat; minat dan leka dengan apa pun jenis hiburan; makan terlalu banyak, makan yang haram dan mengikut nafsu; seks yang keterlaluan dan tanpa batas termasuk zina; asyik dengan kereta atau motosikal yang konon hebat lalu membazir. Kereta yang mahal dan terkini dibeli untuk berbangga dan riak sambil menunjuk-nunjuk - sambil memaparkan wajah sebenar sang iblis - iaitu angkuh!

Sebagaimana biasa, iblis akan mengobarkan lagi rasa asyik dan riak itu (menjadi terburu-buru dan leka - leka ni berpunca daripada sikap tidak ingatkan Allah swt - zikir jauh sekali; pun termasuk juga). Dalam keadaan leka dan dibuai angkuh itulah secara tiba-tiba terlanggar bontot lori yang sedang berhenti di tepi jalan! Tidak kiralah sama ada ia Proton Perdana yang meremukkan seluruh anggota pegawai besar polis ataupun BMW 525i yang tersepit lalu terbakar dan mengorbankan satu keluarga - mati tanpa tinggal satu benih pun! Ada si mat rempit yang langsung terjerembab ke bawah perut lori atau terlanggar pokok lalu putus leher, pecah kepala, terburai perutnya, menggelupur dan mati di situ serta-merta; tanpa sempat ingat (jauh sekali daripada mengucap!) akan Allah swt sebagai pengakhiran kalam.

Maka sebab menjadikan musabbab.

Takdir memang sudah ditentukan; pada sekian masa akan berlaku kemalangan di sesuatu tempat. Itu takdir. Namun sekiranya si hamba bisa dan sentiasa ingat akan Tuhannya, walaupun dia terlibat dengan kemalangan di situ - akan masih ada helah daripada Allah swt buat memelihara dan mengelakkan kecelakaan itu daripada menimpa sang hamba. Si hamba itu akan selamat, takde apa-apa cedera? Contoh, runtuhnya Highland Towers di Hulu Klang sedikit masa dulu - seorang bayi dan amah terselamat di mana pada amah itu terpegang naskah al-Quran. Rupa-rupanya dia sedang mengaji pada waktu kejadian di waktu tengahari itu. Sedangkan 48 orang yang lain hancur berkecai menjadi habuan sang iblis atas pelbagai sebab!

"Sesungguhnya, syaitan itu tiada mempunyai kekuasaan atas orang-orang yang beriman serta bertawakkal kepada Tuhannya." - surah An-Nahl: 99

Ini adalah jaminan Allah swt.


Ataupun satu cara lagi Allah swt selamatkan si hamba ialah dengan melewatkan ketibaannya ke tempat yang telah ditakdirkan. Contohnya, tertinggal kunci sewaktu nak bertolak. Ada orang yang menyapa dan mengajaknya berbual seketika. Itu sebab dalam agama dianjurkan supaya kita JANGAN kelam-kabut atau terburu-buru dalam sebarang tindakan, sebab dalam setiap musabbab itu ada hikmahnya. Lagipun terburu-buru itu adalah angkara pekerjaan syaitan.

Pun begitu sebagai sifat Rahim-Nya, Allah swt masih membenarkan takdir itu dihindari (agar tidak berlaku) melalui doa - doa keselamatan. Kemudian ikhtiar (tidak kelam-kabut dan sembrono - megah dengan kereta high-torque, laju dan penuh aksi) dan sentiasa zikir (ini proses mengingat Allah swt di samping menghindari iblis terlaknat).

Allah swt bersifat Penyantun, Pengasih dan Penyayang. Adalah zalim dan kejam bagi zat-Nya jika sewaktu lahir si hamba itu didatangkan (lahir ke alam dunia ini) cantik molek tanpa sebiji pun parut di badan, tetapi sewaktu mengambilnya kembali (mati) dengan segala cacat-cedera, terlenyek, putus leher dan terburai perutnya penuh ngeri! Belum lagi dikira akan penderitaan daripada kesakitannya.

Takdir yang ditetapkan pasti akan berlaku, tetapi ingat ia bukan dengan restu dan keredhaan-Nya!

Sebaliknya, kengerian dan kecelakaan itu adalah dengan (permohonan dan) kehendak sang iblis - biar dia dapat makan darah... di samping dapat menyesatkan sang hamba Allah swt itu agar menjadi pengikutnya masuk ke neraka Allah swt. (Sakit hatinya dengan kekhalifahan Nabi Adam a.s. itu masih membekas....).

Ia berbeza dengan jihad fi-sabilillah; iaitu mati syahid. Dalam jihad, niat memang telah disertakan (itu pun ada banyak syaratnya juga untuk layak berjihad - ada yang tidak diterima pun jihad mereka!). Namun apabila pergi berjihad Allah swt tidak terus mematikan seseorang hamba-Nya sebaik tiba di medan perang. Si hamba akan diberi peluang berjuang - membunuh seramai mungkin musuh-Nya dan apabila tiba waktunya, maka Allah swt pun 'mengambil'nya kembali dengan hanya satu libasan pedang atau tembusan peluru musuh.

Maka si hamba pun ikut meredhainya sambil merasai nikmat kesakitan itu (jika ada rasa sakit!) dengan syahdahnya lalu 'kembali' dengan aman serta dengan penuh nikmatnya sekali. Dan Allah swt jua meredhainya. Redha dengan persembahan jiwa raga si hamba-Nya. Itu sebab maka setiap mujahid tidak perlu dikafankan sebab Allah swt akan berbangga dengan darah pengorbanannya itu di hari akhirat nanti. Dia akan berbangga kepada sekelian para malaikat, termasuk setan iblis yang mempertikaikan kekhalifahan Adam a.s. 

Peristiwa di Tat Bai, Thailand:
Ada bezanya antara mati syahid dan mati celaka!

                                              

Nota: Guru tasauf kami dari kalangan pejuang Melayu mengajar kefahaman ini dalam menghadapi musuh yang nyata, iaitu iblis laknatullah. Itu sebab mereka tegar dalam perjuangan - tidak pernah berasa gentar  terhadap apa jua rintangan dan musuh. Maka Inggeris pun mula memberikan tauliah (kebenaran berpilih) agar ilmu ini tidak tersebar luas. Hanya orang-orang tertentu (dibaca bar*a) saja yang bertauliah boleh mengajar agama - maka sifat 20 itulah yang diulang-ulang hingga ke tua bangka dan mati dalam kejahilan!

Elias Hj Idris
Tasauf Islam sebenarnya, tidak lain ialah gambaran tentang seluruh masyarakat Islam dengan penganut putera dan puteri 200ribu di zaman baginda. Ini adalah gambaran tasauf Islam 100%. Kemudian gambaran masyarakat Islam di zaman sahabat, kemudian di zaman tabi'in dan zaman tabi'ut-tabi'in. Hingga kini ia sudah bukan lagi 100% tentang gambaran masyarakat Islam.

Lebih parah dengan keadaan Melayu yang menolak Islam, Melayu Islam yang tidak solat, dan ramai pula di antara kita yang telah kufur dan murtad. Na'uzubillah.

Dengan lain perkataan, tasauf Islam adalah intipati keharuman yang terdapat dalam seluruh adab Islam; inti segala fadilat dalam sifat-sifat Nabi Muhammad saw dan pengajaran baginda yang mulia. Itulah semua pengajaran yang baik serta suci yang dikerjakan bersama oleh akal dan ruh sama seiring beratnya.

Tasauf Islam adalah Nur, iaitu cahaya Allah yang menerangi seluruh langit dan bumi alam ini.

Cahaya Allah menurut Al-Ghazali dll.

Dr Muhammad Al-Bahi menulis dalam kitabnya, al-Janibul Ilahi minat-Tafkiril Islami (Perkembangan pemikiran umat Islam terhadap Ketuhanan Allah) beliau kaitkan Surah an-Nur: 35 yang isinya memperkatakan tentang cahaya Allah yang menerangi langit dan bumi;

"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayanya laksana sebuah misykat yang di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah kaca. Kacanya itu laksana bintang yang bergemerelapan (bercahaya-cahaya), dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun - tidak timur dan tidak barat; hampir saja minyaknya itu bernyala-nyala walaupun ia belum pun disentuh api. Cahaya di atas cahaya. Allah menunjukki siapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Demikianlah Allah memberikan perumpamaan bagi sekelian manusia, dan Allah Maha Mengetahui dengan setiap sesuatu."

Menurut huraian Ibnu Sina bahawa kata langit dan bumi itu mencakup sekelian alam ini selaras dengan tahap pemikiran manusia.

Cahaya Allah atau agama Allah, iaitu petunjuk Allah swt itu ibarat lampu di dalam lampu. Lampu luar itu misykat, sementara lampu dalamnya ialah lampu yang memakai kaca, sehingga ia tidak mungkin mati ditiup angin. Kaca lampu itupun sebelum dipasang lampunya sudah bersinar-sinar mengerelap kerana bahannya yang sedemikian indah ibarat bintang yang sentiasa berkerlipan cahayanya.

Minyak lampu itu pula terdiri daripada minyak pohon zaitun, di mana pohon itu pula ditanam di suatu tempat yang tidak terlindung daripada cahaya waktu pagi dan petang. Jadi, hasil minyaknya banyak dan berkualiti jauh berbeza dengan pohon yang terlindung dengan hasil minyak yang kurang dan rendah nilainya. Maka cahaya yang dipancarkan daripadanya amat terang dan bersinar.

Kemudian, minyak itu setelah diletakkan dalam lampu dan belum pun dipasang sudah mengeluarkan cahaya yang indah. Jelasnya, ada dua bahan yang bercahaya-cahaya sebelum lampu itu dipasang; iaitu kaca dan minyaknya. Jadi apatah pula tatkala lampu itu dipasang menjadikan tiga cahaya bercantum menjadi satu. Dan lampu itu pula memakai pelindung yang tidak dapat dihembus oleh angin - tidak rosak oleh gangguan luar dan tidak ada cahaya lain yang akan menggugat kegemilangannya.

Demikian cahaya Allah yang menerangi langit dan bumi; cahaya di atas cahaya. Perumpamaan ini diberikan Allah swt bagi sekelian manusia biar mereka mengerti akan hakikat cahaya Allah, iaitu agama Islam ini.

Elias Hj Idris
Tujuan tasauf ialah menyintai Allah swt, menyintai kebesaran-Nya serta mempelajari segala kebesaran dan kemuliaan Allah swt pada setiap bahagian daripada alam ini yang turut membawa diri dan jiwa kita ikut membesarkan kebesaran Allah swt itu.

Kedua, tujuan tasauf ialah menyintai Rasul dan para Nabi - dengan menyintai pengajaran dan pimpinannya, menyintai segala apa jua yang menyintainya dan menyintai pengajarannya. Ia termasuk membenci segala yang membenci pengajarannya - iaitu segala yang membenci Rasul dan Nabi.

Ketiga, menyintai kebaikan dan kebenaran walaupun di mana ia berada. Rela membantu kebenaran itu dengan jiwa dan harta sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran: 21 - "Dan mereka membunuh akan orang-orang yang menyuruh melakukan keadilan di antara manusia."

Keempat, mendidik, melatih dan menyuburkan ruh manusia yang ditiupkan Allah swt agar tidak diperkosa oleh kejahatan duniawi - supaya ruh itu berada tetap pada kedudukannya. Ia jangan terumbang-ambing oleh pelbagai hal yang merosakkan.

Ilmu tasauf termasuk dalam ilmu pemuja daripada segala ilmu manusia. Kedudukannya berada di tempat yang tertinggi sekali - ibarat mahkota manusia. Apabila memperkatakan tentang ilmu tasauf bererti kita memberikan kedudukan kepada akal dan ruhani biar sedia bekerjasama dengan sempurna bagi menyelamatkan jasmaniah manusia daripada keruntuhan yang kekal dan berterusan.

Kerjasama di antara akal dan ruhani itu akan berpusat di dalam hati manusia; yang akan melimpah dan mempengaruhi keadaan persekitarannya - untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Perlu diingat, alam wujud makhluk ini hanya ada tiga komponen utama, iaitu hati, ruh dan fikiran. Hasil daripada kerjasama di antara ketiga-tiga komponen ini bisa memperkuatkan ruhani dan mengurniakan ilham-ilham tinggi dari hadrat Allah swt. Dan... itulah sifat sebenar tasauf.

Elias Hj Idris
Planet bumi kita ini sudah teruk menggeletar dan kepayahan kerana beratnya dosa-dosa yang telah dilakukan manusia. Manusia yang rata-rata terdiri daripada mereka yang kenyang jasmaninya, tetapi lapar dan kurus kering ruhaniahnya. Imannya hidup segan mati pun tak mau. Perasaan hati kepada Tuhan berkurangan sekali. Jika tidaklah dikeranakan kesusahan-kesusahan yang datang bertimpa, mungkin hubungan dengan Tuhannya itu terus putus.

Di sana-sini terdapat manusia yang jahat jasmani dan ruhaninya. Jikalah tidak kerana Allah swt itu bersifat Pemurah maka sudah lama alam ini dihancurkan. Alhamdulillah, di sana-sini walaupun tidak banyak, tetapi masih ada manusia sufi yang jasmaninya nampak biasa, tetapi ruhaniahnya teramat kaya, amat besar, penuh dengan ilham yang melimpah-ruah. Ingatan, pujaan serta pujia-pujiannya kepada Allah swt tidak pernah kunjung putus dan terhenti.

Maka daripada perkembangan inilah yang membawakan harapan kepada kita bahawa keredhaan Allah swt itu masih belum dihapuskan daripada penduduk bumi ini.

Memang penganut tasauf itu tidak ramai, tetapi ruhaniah manusia itu pun berpasang-pasang juga. Namun nilai seorang Islam harus dapat mengalahkan 10 orang kafir, seperti firman Allah swt dalam al-Quran. Malah kita dinasihatkan agar tidak sekali-kali merasa terhina dengan kejayaan orang kafir, sebab kita tetap umat yang terbaik. Ada orang yang dilimpah-kurniakan ilmu dan tubuh seperti Talut, yang kekuatannya bukan tandingan dengan 10-20 orang biasa - malah seluruh negara sehingga mampu menyelamatkan kaum Bani Israil.

Di dalam al-Quran - al-Baqarah: 249 Allah swt mengatakan;

"Golongan kecil mengalahkan golongan banyak, inilah orang-orang yang suci dan berjiwa sufi."

Tugas kita sekarang adalah berusaha menggali kembali jiwa dan isi jiwa golongan-golongan kecil yang dapat mengalahkan golongan besar dengan izin Allah swt itu. Di antaranya, kita boleh gali melalui bidang ilmu tasauf atau melalui hubungan lain yang berkait dengan ilmu ini.

Biarlah manusia-manusia lain meneruskan kejahatan mereka terhadap Allah swt, tetapi kita tetap berusaha mengembangkan pengetahuan-pengetahuan yang menyiarkan ilmu tasauf supaya ia dianut oleh manusia dengan lebih banyak. Dengan harapan agar manusia-manusia inilah yang akan mengalahkan jumlah besar yang semakin lama semakin membiak - dengan keseimbangannya nanti agar usaha itu diredhai Allah swt.

Elias Hj Idris
Sebenarnya, teman malas nak lompat tinggi nanti terkepik pula lebai teman terandas ke siling. Kisah perjuangan kemerdekaan ini ada dimuatkan dalam kedua-dua novel; 'KEMBANG TAK JADI...' dan 'ANAK PEREMPUAN KABARET'. Kisah berkenaan dengan novel ini ada dimuatkan di TKO juga.
Namun untuk penjernihan dan supaya slogan merdeka itu tidak diselewengkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab maka teman kekalkan perjuangan itu dalam lakaran karya di mana dan bila saja ada kesempatan; termasuk dalam novel.


Dalam masa yang sama tentangan penduduk pribumi pula menjadi-jadi. Ia turut disertai oleh tuk-tuk guru pondok serta alim ulama. Kemudian, golongan patriotik-demokratik MelayDeutro bergabung menuntut pembebaskan negara. Mereka bangkitkan kesedaran di kalangan orang MelayDeutro dengan bersikap anti-Brtitish. Mereka tubuhkan Kesatuan Melayu Muda dengan pemimpin penting seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ibrahim Hj Yaakob, Mustapha Hussin, Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestamam.

Pada 17 Oktober 1945 mereka tubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan meneruskan perjuangan untuk kemerdekaan Tanah Melayu dengan slogan ‘merdeka’nya.

Pada tahun 1946 baru Dato’ Onn serta pengikutnya di kalangan atasan dan pertengahan sebagai anak didik orang putih menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu. Slogan mereka ialah ‘Hidup Melayu’ dan mempunyai hubungan cukup baik dengan British. Sebagai pegawai tadbir kerajaan British mereka terikut-ikut dengan tradisi budaya orang putih yang suka enjoy dan minum-minum. Pada setiap malam minggu mereka ada ‘dancing’. Paling tidak pun di rumah tuan-tuan estet dan bercampur-gaul secara bebas dengan mem-mem orang putih sambil minum arak.

Sporting’nya orang putih ialah kerana tidak pernah cemburu dengan isteri atau pasangan mereka. Jadi, mem-mem ini mengambil kesempatan bercanda dengan pegawai-pegawai MelayDeutro ini. Ada yang terus ke ranjang sebab mem-mem ini sedar akan keistimewaan lelaki MelayDeutro.

Apabila timbul seruan merdeka, golongan aristokrat MelayDeutro ini tidak betah untuk menerimanya. Mereka sudah biasa enjoy, selain daripada bimbangkan golongan agama yang ingin menegakkan undang-undang syarak. Kebetulan kaum pribumi waktu itu masih dengan corak kampungnya, sementara kaum pendatang sibuk memunggah kekayaan negara.

Mereka memperkecilkan perjuangan Dr. Burhanuddin dan rakan-rakannya dengan mencemuh, ‘... membuat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka!’

Pada tahun 1947, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Ghanapathi, Abdullah CD dan Miau Siu telah menghadiri Persidangan Asia di New Delhi, yang membincangkan gerakan kemerdekaan di banyak negara Asia. Apabila menyedari gerakan ini bakal mengancam kepentingan orang putih, British menubuhkan Malayan Union. Namun ia mendapat tentangan hebat di segenap lapisan masyarakat.

Maka lahirlah Pusat Tenaga Rakyat, iaitu gabungan parti politik kiri MelayDeutro dan Majlis Bergerak Serentak Malaya, iaitu parti kiri kaum pendatang. Mereka telah bercantum dan memperjuangkan kemerdekaan tanah air secara berperlembagaan. Hasilnya, mereka berjaya meminggirkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu yang pro-penjajah. Ini memberi tamparan hebat kepada British.

Gabungan ini telah mengutarakan sepuluh prinsip asas Perlembagaan Rakyat untuk sebuah negara merdeka. Namun British menolaknya. Sebaliknya, orang putih ini berpakat dengan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu untuk mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan sendirinya ini telah menghancurkan cita-cita gabungan parti kiri.

Pada 20 Oktober 1947 mereka telah membuat bantahan besar-besaran di seluruh negara. Ia telah melumpuhkan seluruh pentadbiran British buat seketika.

Apabila melihatkan kepentingan mereka terjejas, Parti Kebangsaan Melayu Bersatu pun menghasut British. Maka pada 18 Jun 1948, Undang-undang Darurat diisytiharkan. Semua parti politik diharamkan dan dua hari kemudian para pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan ditangkap dalam Ops-Tangkap dan dipenjarakan.

Di antara mereka ialah Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam, Ustaz Abu Bakar Baqir, Cikgu Sabrun. Osman Bakar, Cikgu Muda, Cikgu Hamid, Ustaz Yahya Nasim, Taharuddin, Kamaruddin, Bizar Ahmad, Sutan Djenain dan Khatijah Ali.

Anehnya, tidak seorang pun pemimpin dan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang ditangkap. Sebaliknya, Undang-undang Darurat ini telah menjadi batu loncatan kepada parti ini untuk terjun ke gelanggang politik Tanah Melayu tanpa saingan di bawah tajaan British.


ikanlepu: Kesemua pejuang itu dipenjarakan 7 tahun dan dibebaskan setelah segala-galanya disiapkan termasuk draf perlembagaan oleh Lord Reid. Itupun mereka masih terikat dengan syarat tidak boleh bergerak dalam politik - jika tidak mahu ditahan semula.
Elias Hj Idris
Dalam hidup ini kita perlu banyak berserah kepada Allah swt. Itulah gunanya ungkapan 'La-haula-wala-quuwatailla-billahil'aliyyil-aziim'; tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah!

Maknanya setiap hal yang datang daripada-Nya kita redha dan dikembalikan semula kepada-Nya sebagai tanda penyerahan diri sepenuhnya; maknanya bukan dengan kekuasaan aku dan kita lagi....

Jiwa 'humble' itu akan menyerlahkan sifat kita sebenar yang berada di atas jalan 'sirothal-mustaqiim' itu. Jika tidak kita masih berada dalam taklukan iblis laknatullah. Jika tidak pun kita akan sentiasa terdedah kepadanya. Memang setiap kita ada kelemahan (sebagai taraf manusia!) dan sering melakukan dosa, namun jalan mengelaknya telah banyak disediakan dek Allah swt.

Adalah naif jika ada di antara kita yang berkata bahawa segala-galanya terpulang kepada Allah swt, kita cuma hamba yang tidak berkuasa menentukan. Jangan 'over confidence' konon. Siapalah kita, konon yang nak menentukan? Sedangkan mereka itu lupa tentang hak sebagai hamba yang telah Allah swt janjikan.

Jika kita tidak yakin malah tidak pasti dengan apa yang dilakukan bermakna kita dayus di sisi Allah kerana membiarkan diri terdedah kepada kehendak iblis - musuh sejati itu. Sedangkan Allah telah menjelaskan bahawa 'Aku adalah sangka hamba-Ku kepada-Ku'.

Sama juga apabila mati kemalangan - oh dah takdir Allah swt, sehingga dia lupa mati dalam keadaan mengerikan (mungkin tanpa ingatkan Allah langsung sebagai akhir kalimah) adalah dengan kehendak iblis, iaitu tanpa redha Allah swt. Oleh kerana sang hamba itu lupa akan-Nya, maka sebagai Zat Yang Maha Adil di mana si iblis itupun hamba-Nya juga yang tidak putus-putus berdoa meminta pengikut dari kalangan manusia mukmin maka Allah swt pun mengizinkan takdir-Nya.

Itu baru dikatakan takdir (takdir yang berlaku tanpa redha Allah ke atas hamba-Nya yang awalnya mukmin itu).

Kita tidak mahu menghukum akan mereka yang telah kembali menemui Tuhannya dengan cara itu. Mereka yang sudah pergi itu terserah di atas rahmat-Nya semata-mata. Cuma kita yang hidup ini perlu berhati-hati dalam menjaga iktiqad dan kefahaman. Kita masih belum mati dalam keadaan mengerikan. So, berusahalah untuk menghindarkan 'doa' si iblis yang tidak pernah mungkir itu - menghendaki pengikut dari kalangan jin dan manusia agar berbondong-bondong masuk ke dalam neraka bersama dengannya.

Ia berbeza dengan mati syahid - walaupun matinya berdarah, tetapi niat awalnya sudah tuntas - iaitu pergi berjuang kerana Allah swt (itupun ada banyak kategorinya juga). Jika pergi kerana sesuatu tujuan pun tak boleh juga. Berjihad kerana orang lain pun pergi juga, pun tak boleh!

Maka ini semua yang menyebabkan 999 orang mukmin kandas ketika melintasi titian sirat lalu jatuh ke bawah - ke dalam neraka Allah swt.

Siapakah gerakan yang seorang itu?

Kelayakan yang seorang itulah yang kita mesti rebutkan mulai 20-30 tahun lalu (bukan baru nak mula hari ini). Jangan sekali-kali mewajarkan kelekaan kita dengan segala bentuk keghaflahan, kemungkaran dan buruk sangka terhadap Allah lalu (konon) dengan rela menerima takdir Allah dengan redha!

Itu redha bunuh diri namanya.

Sedangkan kita asyik terbuai dalam gamitan dan was-was syaitan sepanjang zaman. Jika solat pun kerana itu kewajipan, bukan kerana keikhlasan dan sesuatu yang pasti buat seorang hamba! Solat yang dibuat kerana 'terpaksa'. Dan solat itu pun dibuat secara 'bermalas-malas' sambil fikiran menerawang ke serata alam!

Kita perlu sentiasa ingat dan insaf benar-benar akan maksud ayat, "Lain-syakartum, la- azidannakum walain-kafartum inna azabi-la syadid.". Syukur di situ BUKAN syukur hanya apabila diberikan rezeki, tetapi syukur yang hakiki ialah syukur akan nikmat iman yang diberikan serta nikmat 7 anggota dan 7 sifat Allah yang ada pada kita itu.

Jadi, jangan sekali-kali kita mudah tersilap perhitungan dan tersilap tanggapan. Berburuk sangka terhadap Allah swt - tunggu sajalah padahnya. Na'uzubillahi-minzaliik.

 

 
Nota: Ini adalah persepsi dari sudut tasauf.
Elias Hj Idris
Alam tasauf merupakan satu alam yang penuh perhatian.

Bagi orang yang belum pernah memasuki atau belum mengenalinya akan mengira bahawa alam ini penuh dengan mistik, penuh dengan kesulitan dan keusahan hidup. Sama halnya dengan mereka pencinta nafsu dan syahwat yang selalu berkumpul di tempat awam atau di kedai-kedai makan, kelab dan disko berasakan para pemikir dan penulis yang tekun dalam bilik kerjanya sebagai orang yang bodoh dan hanya menyusahkan diri sendiri. Orang yang tidak tahu menikmati keseronokan dunia!

Sedangkan sebaliknya bagi pemikir dan penulis itu pula berasakan kerjanya yang berjam-jam itu dilalui dengan penuh nikmat. Ia waktu yang amat bahagia. Demikian bagi ahli ibadat yang tekun menghadapi kiblatnya dengan sentiasa memuji dan membesarkan Allah swt seorang diri tanpa diketahui orang lain - siang dan malam berasakan itulah umurnya yang sebenar dimunafaatkan. Itulah pekerjaan yang sebaik-baiknya sebab dia telah memulangkan dirinya kepada Khaliq dan tidak untuk lain walaupun bagi kepentingan dirinya.
Demikian alam tasauf yang penuh dengan latihan dan kesucian itu yang tidak mungkin dapat difahami oleh orang luar. Namun bagi orang yang sentiasa melatih dirinya menyintai Allah supaya dicintai Allah, alam tasauf adalah alam yang sangat menarik; alam yang diidam-idamkan, alam abid, alam orang yang tahu bahawa dia akan hidup berjuta-juta dan berbilion tahun setelah meninggalkan dunia yang pendek hayatnya ini.

Alam itu ibarat lautan yang tidak bertepi. Ia yang tidak dapat disebut betapa indah dan kaya-rayanya. Penuh dengan segala kesenangan rohaniah, penuh dengan kekayaan nan abadi. Ia tempat berkhalwat dan munajat yang seenak-enaknya - tempat memohon ilham ruhaniat dan jawapan hati seperti kata Nabi saw; "Tanyailah hatimu," dalam sesuatu persoalan yang pelik kerana hati itu tidak akan memberikan jawapan yang tidak baik.

Ada orang yang mengatakan bahawa tasauf itupun sama dengan suara-suara muzik yang klasik penuh rahsia dan keajaiban, yang dapat membangkitkan semangat dan niat suci dalam hati setiap pendengarnya, yang mengasyikkan mereka yang melakukan amalan-amalan yang baik. Demikian alam tasauf yang penuh dengan ilham yang akan menenangkan hati dalam menyintai Allah swt - penuh dengan segala limpahan ruhaniah daripada Allah swt.

Ucapan-ucapan yang keluar dari mulut orang-orang sufi memuji dan memuja Allah swt dengan kalimah yang sederhana, tetapi suaranya ibarat muzik yang sangat indah - dengan tekanan suara yang menambah hidup ruhaniah mereka di setiap saat menaiki darjat yang semakin tinggi mendekati Allah swt.

Oleh kerana darjat itu tidak terbatas, maka tingkatan-tingkatan ahli tasauf juga tidak dapat disebut betapa pula banyaknya. Siapa yang dahulu, tentu akan lebih tinggi daripada yang terkemudian jika pun sama nilai ibadat dan pengetahuan mereka.

Orang-orang sufi secara lahirnya adalah manusia biasa, tetapi pada batinnya mereka orang-orang Allah swt, orang yang dekat dengan-Nya; orang yang menyintai Allah swt dengan seluruh apa yang ada padanya - setidak-tidaknya pun merekalah orang yang memuji Allah swt dengan segala apa yang dapat diberikan. Merekalah orang yang terus-menerus mengembara kerana mengetahui kebesaran dan kemuliaan Allah swt lebih daripada apa yang pernah diperolehinya.

Cinta itu buta. Maka orang sufi menyintai Allah swt dengan mata dan hati yang buta daripada yang lain daripada Allah swt. Kalau dia melihat pun, maka apa yang dihimbaunya adalah Allah swt. atau kebesaran-Nya atau tanda-tanda-Nya atau rahmat-Nya atau limpahan kurnia ruhaniat-Nya. Setiap dia memperoleh kurnia sepatah kata atau setitik ilham ruhani, dia semakin asyik untuk mendapatkan tambahannya lagi dan lagi.


Elias Hj Idris
Tasauf Islam mempunyai sifat dan bentuk-bentuk yang khusus. Walaupun ia mempunyai persamaan dengan tasauf jenis lain, tetapi ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia mempunyai pengetahuan tasauf yang khalis, tauhid yang tulen, bersih dan tidak sedikit pun bercampur dengan syirik, biarpun ia syirik yang kecil sekali.

Tauhid yang khalis ini harus bersumberkan ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tauhid pada pelbagai tempat di seluruh al-Quran, ditambah dengan nur Muhammad yang memberikan gambaran lahir dan praktikal terhadap tauhid-tauhid yang tulen. Contoh, bagaimana mengesakan Allah swt dengan hati, akan diperlihatkan dengan ucapan-ucapan dalam tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan lelainnya. Ia ditambah dengan membaca ayat-ayat yang menyatakan keesaan Allah swt.

Kemudian semua itu dibesarkan gambarannya oleh ibadat dan praktik ibadat Nabi, yang tidak ada contohnya pada mana-mana agama; yang menyatakan ketauhidan Allah swt. Kemudian ia ditambah jelas dengan bentuk masyarakat Islam yang telah dipraktikkan Nabi saw dengan sekelian para sahabat.

Mereka lalu berdiri menghormati Nabi. Penghormatan ini baik. Akan tetapi sedikit sebanyak bakal menimbulkan hati besar kepada yang dihormati, dan hati kecil kepada yang menghormati. Oleh sebab itu Nabi saw melarang sahabat-sahabat supaya jangan memuliakan baginda seperti orang-orang Parsi.

Banyak pengajaran dan perbuatan Nabi yang menggambarkan bagaimana tauhid khalis kepada Allah swt itu harus dipelihara. Bukan sahaja tauhid khalis itu harus disuburkan dalam ingatan dan perbuatan kita, tetapi praktik-praktik lainnya yang mungkin akan menjadi lawan kebesaran Allah swt dan harus ditiadakan dalam masyarakat.

Tauhid seperti ini yang timbul daripada kecintaan yang penuh dan meluap-luap daripada orang mukmin kepada Tuhannya, akan membuka banyak lapangan lain, dan inilah yang menyebabkan filsafat-filsafat Islam itu berbeza dan mempunyai corak tersendiri yang melebihkannya daripada tasauf yang lain.

Pada permulaan dan pertengahan jalan masih ada hubungan antara tasauf Islam dan tasauf yang lain, tetapi pada tingkat-tingkat tertinggi dan posisi terakhir Islam mempunyai acara dan cara-cara sendiri. Dan ini yang akan diperkatakan seterusnya.
Elias Hj Idris
Kisah murtad ini masih menjadi topik utama dalam pembicaraan novel 'Kembang Tak Jadi...'. Berikut ini adalah petikan daripada muka surat 391-393 tentang sikap biadab mereka yang murtad terhadap tuan yang empunya dunia.


PEMIMPIN-pemimpin MelayDeutro hanya akan sibuk apabila ramai orang masuk pertubuhan Islam. Sebabnya, mereka khuatir Amerika akan marah! Mereka bimbang bangsa lain akan terasa hati kerana rakyat negara ini majmuk. Jadi, apabila orang-orang MelayDeutro mahu masuk agama lain, iaitu murtad biarkan!


Sedangkan mereka lupa, tujuannya Allah swt menjadikan dunia ini bagi membolehkan makhluk berabdi kepada-Nya. Orang-orang yang murtad bererti melawan tuan empunya dunia. Sedangkan seseorang pelawat biarpun Presiden mana-mana negara besar sekalipun yang melawat ke sesebuah negeri mesti patuh kepada peraturan dan undang-undang negeri tersebut.

Inikan pula manusia, makhluk yang lemah boleh murtad dan melawan Allah swt pula. Dia melawan fitrah kejadiannya sendiri. Sedangkan murtad, ibarat melawan ketua dan dia mesti dihukum menurut ketetapan fuqaha. Kalau tidak, dia kena buat sebuah dunia lain. Jangan duduk di atas bumi Allah dan menumpang segala infra-struktur yang disediakan untuk kehidupan manusia lain.

“Itulah, mentaliti murtad adalah orang yang tidak tahu malu!” tingkah Rizal pula ikut bersimpati dengan keadaan sekolah yang tidak bermaya itu. Bantuannya telah ditarik balik kerana menjadi sarang pengganas, kononnya.

Jadi, Allah swt mengurniakan institusi kenabian bagi membolehkan manusia mendapat taufiq dan hidayah. Manusia disuruh solat dan di dalamnya ada menyebut, ‘ihdinassirotolmustaqiim’ - iaitu jalan yang betul, jalan lurus.

“Manusia dilengkapkan dengan nafsu,” kata Dr. Heikal sambil memandu keretanya dengan ditemani Rizal. Mereka masih dalam perjalanan menuju ke pekan Banting. Mereka mahu melihat jembatan yang melintasi Pulau Carey yang sedang dibina sebagai sebahagian daripada laluan lebuhraya pesisir pantai yang sedang diura-urakan. Laluan itu nanti akan terus menghubungkan kawasan pembangunan anjung selatan negeri yang diiktirafkan maju itu. “Ada nafsu amarah yang menarik ke arah kejahatan dan nafsu mutmainnah yang mendorong kita menjadi baik.”

“Memang la... itupun dah termasuk dalam rukun, kan!” kata Rizal.

“Untuk menentukan nafsu jadi baik atau jahat sebenarnya tidak ada kuasa manusia. Ia hanya dapat dilakukan melalui ajaran para nabi, " kata Dr. Heikal lagi yang masih memandu perlahan keretanya. “Bukan para pemimpin yang diharap menentukannya.”

Para pemimpin pun tidak boleh menunjukkan jalannya sebab ramai di antara mereka yang menyeleweng. Bagaimana bekas Presiden Marcos di Filipina atau bekas Presiden Suharto di Indonesia menyeleweng. Presiden Clinton atau Presiden Bush pun menyeleweng. Malah paderi boleh terlibat dengan skandal. Lantaran orang-orang murtad ini memperlekeh nikmat kenabian dan ‘ketuanan’ Allah Taala.

Pemikiran sekular akan lebih mudah terdorong kepada murtad, bukan kepada iman. Selagi pemerintahan masih berpaksikan sekular, mustahil untuk mereka membendung gejala murtad. Samalah halnya dengan menyerahkan lembu untuk dijaga oleh seekor harimau! Sedangkan pemimpin MelayDeutro yang ada asyik memutarkan skru (iman) ke arah melonggarkannya. Dan banyak pula di antara skrunya yang telah pun tercabut!
Penyu: Tidak punya perhitungan apa-apa?

Elias Hj Idris
Apabila menyintai Allah bakal melahirkan sikap untuk menyintai segala ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Dengan menyintai ini akan membawa seseorang mukmin itu meredhai segala takdir Allah swt, berasa senang dan tenang terhadap apa jua yang telah ditentukan Allah di serata alam ini; sama ada alam yang ada di depan mata ini, alam kubur, alam mahsyar, alam neraka, alam syurga dan lelainnya.

Sebab, dia merasakan bahawa segala yang telah dijadikan Allah itu ada hikmahnya. Perlu diingat, takde satu pun kejadian di atas muka bumi ini dan di mana jua yang tidak disertai dengan hikmat Allah Taala.

Setiap kejadian yang berlaku adalah dengan kehendak Allah swt semata-mata. Apabila seseorang itu menyintai Allah swt maka dia akan menyintai segala yang dijadikan Allah swt. Itu cinta yang mutlak. Jika dia dapat memahami maksud dan tujuan pada setiap kejadian dan perbuatan Allah swt - maka datang di hatinya rasa syukur. Jika dia tidak memahaminya, maka apa yang kurang dalam hal ini adalah pengetahuannya, bukan hikmat Allah dalam setiap kejadian.

Perlu diingat, setiap apa jua yang lahir/datang daripada sumber yang kita cintai - maka ia juga harus dicintai. Ia dinamakan cinta mutlak kepada Allah swt.

Namun begitu, pengetahun, iman dan cinta tersebut berada di tingkatan-tingkatan yang harus ditempuh jenjang demi jenjang - yang dinamakan khittah tasauf (rencana jalan). Pada setiap anak tangga - ia menjadi pelbagai ukuran bagi pelbagai jenis manusia. Ada yang terlalu lama berada di satu anak tangga sebelum dapat naik ke anak tangga kedua - seterusnya ke anak tangga terakhir. Ada yang terus tidak sampai hingga ke akhir hayatnya.

Malah ada yang langsung tidak jejak ke anak tangga pertama pun. Hidup dan matinya gitu-gitu saja sebagai orang yang merugi. Semua itu bergantung kepada rezeki dan habuannya berkait dalam soal hubungannya dengan Allah swt. Namun ia mesti diusahakan oleh setiap pengikut tasauf - di mana garis-garis pokok itu adalah jelas perlu ditempuhi jua.

Setiap penganut tasauf di seluruh dunia mestilah terdiri daripada mereka yang mengesakan Allah swt, yang menyintai Allah swt dan segala yang dijadikan oleh-Nya. Oleh sebab itu sifat ahli tasauf di mana-mana jua adalah sama. Mereka terdiri daripada mukmin-mukminat yang khalis, yang menyintai syariat Allah swt lebih daripada menyintai segala peraturan yang lain.

Berlebih atau kekurangan ilmu seseorang itu dalam bidang syariat Islam itu bakal meletakkannya lebih daripada yang lain ataupun kurang.

Ini yang dinamakan khittah tasauf alami - tasauf bagi seluruh dunia Islam.

Elias Hj Idris
Apabila pandangan telah tembus dengan dapat melihat segala cahaya kesucian Allah swt di mana-mana sahaja maka pada setiap waktu dia akan berhubung dengan kebesaran dan kemuliaan Allah swt. Ia menginsafkan dan dia akan dapat melihat hari-harinya di dalam kubur itu nanti, di atas padang mahsyar dan kejadian-kejadian di dalam neraka dan syurga.

Dia akan tenggelam dalam mempelajari kebesaran Allah dan terharu melihat kemuliaan dan cahaya Allah yang meliputi langit, bumi dan lelainnya. Pun begitu dia akan masih punya satu tangga lagi, iaitu kemuncak daripada segala pandangan batin itu. Pandangannaya hendaklah ditingkatkan dan dipanjat ke tingkat yang lebih tinggi - itupun setelah tenggelam dengan musyahadah hati akan Allah, sifat-sifat-Nya dan sekelian kebesaran dan kemuliaannya, harus tumbuh nilai yang sama tingginya akan cinta-cinta yang suci kepada Allah swt.

Cinta ini adalah cinta mutlak.

Cinta dengan mata lahir, cinta dengan mata hati, cinta dengan ingatan, cinta dengan lisan sambil menyebut-nyebut dan memuji Allah swt dengan tasbih, tahmid, takbir, tahlil dsb. Cinta kerana takut semata-mata harus dijauhkan, sudah tidak bermakna tetapi ia cinta kerana jinak dengan kemuliaan dan kebesaran Allah swt; cinta kerana ingin mendapat bahagia apabila dekat dengan Allah swt. Ia cinta kepada Allah swt sebagai pelimpah segala rahmat dan kurnia; cinta yang memupuk iman kepada Allah swt dengan menambah-tebalkan iman melalui pengetahuan yang dapat menyuburkan iman tersebut.

Hasilnya, timbul keinginan menyelidik lebih jauh akan Allah dan kekuasaan-Nya supaya iman yang telah sedia tulen itu naik dari iman tingkat mustaqiim menjadi iman 'ainul-yaqiin dan di akhirnya mencapai ke tahap iman yang haqqul-yaqiin.

Menyintai Allah dan Menyintai Sekelian Makhluk

Iman akan Allah dengan segala sifat Kebesaran dan Kemegahan-Nya, di akhir akan membawa seseorang mukmin itu mencintai akan sekelian yang maujud ini. Dia akan memandang sekelian alam ini sama seperti Allah yang memandangnya. Dia akan berlepas diri daripada setiap kejahatan sementara sang makhluk. Namun segala kejadian dan peristiwa itu akan ada munafaatnya demi untuk kepentingan agama dan iman.

Jika sekelian kejadian pahit itu tidak memberi menafaat kepada si pelakunya yang berdosa, namun kesannya bakal menginsafkan banyak orang lain. Dan di antara orang-orang yang diinsafkan itu bukan sedikit yang bakal menambah tingkat taqwa mereka; menjadi orang yang terlebih baik di antara yang baik-baik. Dan di situ letak hikmahnya.

Raudhah: Di antara Taman-taman Syurga
Elias Hj Idris
Gejala murtad telah heboh diperkatakan oleh Mufti Negeri Perak. Pada tahun 2006 sahaja sudah terdapat 250,000 si murtad dari kalangan orang Melayu. Malah apa yang disuarakan itu langsung tidak mendapat apa-apa reaksi daripada pihak berkuasa. Kerajaan pun turut mendiamkan diri seolah-olah merestui tindakan murtad oleh sebilangan masyarakat Melayu. Berikut ini petikan daripada muka surat 623-617 novel di atas.


GEJALA murtad telah menjadi begitu serius. Ia berkait dengan aqidah umat Islam dan musibah ini memang dirancang dan dibiayai oleh musuh Islam di dalam dan luar negara yang menyamar sebagai aktivis hak asasi manusia.
Kemudian Majlis Bukan Islam pernah menghantar memorandum kepada Majlis Loyar Buruk menuntut agar orang Islam diberi hak murtad tanpa permohonan dibuat kepada mahkamah syariah. Mereka mahu supaya kes murtad tidak dikendalikan oleh mahkamah yang menaungi orang-orang Islam itu.

Terbaru sebuah Majlis Antara Agama (IFC) pula mahu ditubuhkan dengan tujuan untuk menukar ajaran mana-mana agama yang menyekat hak asasi manusia termasuk dalam kes murtad. Mereka sendiri yang akan memproses permohonan seseorang Islam yang mahu murtad.

Alasannya, norma-norma antarabangsa tidak membezakan di antara orang Islam dan bukan Islam. Jadi bagi seseorang Islam norma kehidupan mereka bukan lagi atas nama Islam, tetapi berlandaskan norma ciptaan manusia. Setiap ajaran Islam yang bertentangan dengan norma antarabangsa mesti dihapuskan. Ini bermakna Allah swt akan terpaksa tunduk kepada kehendak norma antarabangsa!

Jadi mereka mahu status seseorang Islam itu bukan ditentukan oleh Tuhan lagi. Orang Islam bebas untuk murtad dengan kehendak masyarakat antarabangsa. Firman Allah swt dalam surah an-Nahl: 106;

‘Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur), sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.’

Dalam tuntutan Majlis Antara Agama (IFC) itu bukan setakat memudahkan orang Islam untuk keluar dari agamanya, tetapi agama lain juga bebas didakwahkan kepada orang-orang Islam. Jadi, dengan itu perkara murtad sudah jadi perkara biasa. Mereka mahu menafikan sekatan yang ada pada Artikel 11(5) dalam perlembagaan negara.

“Mereka mahu seseorang Islam yang ingin murtad cukup sekadar kemukakan permohonan kepada mereka, iaitu orang-orang bukan Islam ini dan diluluskan,” jelas Sariah sambil menolak ke tepi peta-peta laluan lebuh raya yang dicadangkan.

“Ni la yang dikatakan campur tangan pihak-pihak yang tidak berkenaan,” tegas Dr. Heikal sambil bertenggek di birai meja Sariah. Dari jauh dia memerhatikan nun di seberang sana jalan pada kereta yang berduyun-duyun menuju destinasi. “Jabatan pendaftaran sudah tiada kuasa menolak permohonan menukar nama kepada bukan Islam. Jika tidak ia dianggap menjejaskan keharmonian dan menyekat kebebasan beragama!”

“Kalau ditolak, ia boleh diheretkan ke mahkamah pula sebab tidak menghiraukan keputusan Majlis Antara Agama,” tingkah Rizal sambil menarik kerusi di sebelah Dr. Heikal.

“So, jelas la bahawa majlis ni sebuah suruhanjaya yang anti-Islam,” sahut Sariah pula sambil memerhatikan Rizal yang mendongak memerhatikan Dr. Heikal.

“Presiden kata penubuhan suruhanjaya tu ditangguhkan,” jelas Dr. Heikal lalu bangun menuju jendela. “Ini memberi implikasi bahawa beliau akan berikan kebenarannya.”

“Hahh... tunggu bila nak dekat pilihanraya,” tingkah Rizal sambil mendepangkan tangannya. “Apa saja yang dituntut orang pasti ditunaikan.”

“Ya la... sebab orang yang menyokong penubuhannya pun datang dari kalangan jemaah eksekutif MelayDeutro juga. Jemaah eksekutif yang ada terlalu banyak duit tu...,” Dr. Heikal menepuk-nepuk bahu Rizal sambil tertawa. “Permit teksi pun semua disapunya....”

Campur tangan seperti ini amat berbahaya. Sedangkan segala yang berkaitan dengan Islam mesti ditangani oleh mereka yang arif dan berkelayakan sahaja. Itu sebab maka mahkamah syariah diadakan.

“Ini jugalah yang diperjuangkan oleh Ladies In Islam tu kan!” Sariah teragak-agak.

“Hahh... yang ni kena tanya Dr. Heikal sebab wifenya dah terkena minyak guna-guna mereka kat dalamnya,” sindir Rizal pula sambil menjeling temannya itu. “Dia dah jadi geng baik dengan Surinah, Sylvia Youseff, Marianne dan anak Presiden sekarang tu juga.”

Dr. Heikal menggeleng. “Kes dah dibawa ke mahkamah syariah.”

“Nak buat apa?” Rizal terperanjat.

“Err... dia nak tuntut cerai,” sahut Dr. Heikal sambil menarif nafas panjang. “Kesian Amiera, anak aku tu.”

Sariah dan Rizal berpandangan.

“Masih sekolah lagi kan!” Sariah bersuara.

“Setakat ni, mak dia masih hantar ke sekolah agama kendalian Ustaz Syahir tu,” sahut Dr. Heikal lalu pergi ke coffee master di tepi dinding.

“Err... you nak ke? Biar saya ambilkan,” Sariah menawarkan diri.

“Boleh juga,” sahut lelaki bujang itu pula.

Perbualan mereka termati di situ apabila kemudiannya Sariah menerima panggilan daripada setiausaha peribadi Dato’ Tamrin. Ada perkembangan terbaru berkait dengan Tiang Longgar Bhd.

“Kenapa? Dah berjaya!” Dr. Heikal tidak sabar.

Sariah mengangguk. “Err... Dato’ Tamrin nak jumpa. Mungkin ada berita baik sebab kita sedang tunggu jawapannya saja.

“Ooo... tahniah,” seru Dr. Heikal. “Kita akan ada sebuah rangkaian pasaraya lepas ni nanti.”

“Dan tak lama lagi cik abang kita ni kena tolong kat sana.”

“Siapa? Myself...,” Rizal kehairanan.

“Elok sangat la tu...,” tingkah Dr. Heikal dengan wajah gembira. “Kau jaga pasaraya pula. Jangan dok berkait dah dengan orang politik, terutama yang jadi dubuk lapar tu.”

“Tapi err....”

Dr. Heikal merenungnya. “Aku mau kau tolong Sariah. Okey!”


Elias Hj Idris
Kisah yang membawa kepada terjadinya murtad bermula apabila tidak solat. Teman mengambil berat dalam soal-soal sebegini kerana kepentingan solat dalam kehidupan beragama. Cuba ikuti petikan dari muka surat 619-623 novel 'Kembang Tak Jadi' terhadap seorang anak pensyarah kanan di UM yang menjadi Hindu.

                                             
“Actually, I dah terlanjur dengannya,” jelas gadis anak pensyarah itu sambil tunduk. “I dah rosak....”

Dr. Heikal menarik nafas panjang. Dia mula mengerti. Maka tidak salah daripada kajian yang dibuat mendapati kebanyakan kes lain juga berpunca daripada angkara zina. Apatah pula seks bebas begitu menular dalam masyarkat hari ini. Semuanya berpunca daripada tiada didikan agama. Kalau ada pun agama itu secara sistematik diperkecilkan peranannya.

Seterusnya, apabila mereka mengulangi zina, ia akan tiba ke suatu peringkat di mana keasyikannya melampaui alam lamunan. Ia menjadi ketagih dan rasa asyik itu terus dibuai oleh syaitan terlaknat. Bagi mereka pasangannya itu adalah segala-galanya. Mereka baru menemui cinta sejati! Mereka akan menolak segala yang menjadi penghalang, termasuk agama.

‘... buang emak, buang saudara’
kerana asyik aku turutkan
persetankan saja agama turunan!

Apabila semuanya dirasakan manis belaka serta dengan iman senipis kulit bawang, apa lagi yang dapat diharapkan? Agama sudah dikira tidak penting dan boleh ditolak sahaja ke tepi. Akhirnya, mereka pun bernikah dengan mengikut agama pasangannya.

Di sini, pihak berkuasa agama tidak berbuat apa-apa. Para muftinya tidak bersuara, sebab dalam banyak kes melibatkan campurtangan politik. Ada permainan tarik tali, sedangkan pemimpin yang ada terlalu lemah untuk bertelagah dan berhujah. Mereka bimbang timbul polemik yang bakal menjejaskan populariti. Dan demi mengekalkan status quo dan terus berada di tampuk kuasa, maka pemimpin parti kebangsaan MelayDeutro terpaksa beralah dan tutup mata.

“Itu sebab agama kita menetapkan rotan seratus kali bagi yang belum bernikah dan direjam sampai mati bagi yang pernah berumahtangga,” jelas Dr. Heikal sambil menggeleng. “Sebab kerosakannya itu... tak termasuk lagi dengan kelahiran anak luar nikah, cemburu, dendam dan pertelingkahan di kalangan anggota keluarga.”

Rizal memerhatikan riak di wajah temannya itu. Kemudian dia menjeling Sariah yang sedang tunduk. “Err... kata Rafiq Baba, makan luar ni sedap.”

“Apa pula makan luar? Zina la tu,” sergah Dr. Heikal lalu bangun. “Tengok la kes dalam novel ‘KEHILANGAN’ yang dapat anugerah ‘Novel Terbaik’ tu. Betapa parahnya apabila isteri orang bercinta dengan suami orang lain! Cinta bersilang....”

Sariah menoleh. “Err... betul ke?”

Rizal hanya mampu tersenyum apabila melihat gelagat Dr. Heikal. Lelaki itu baru tersedar yang dia  menimbulkan kisah kelabu itu dengan kehadiran Sariah, seorang gadis yang masih tidak tahu apa-apa?

“Err... saya minta maaf.” Dr. Heikal kembali tersandar di kerusinya sambil Sariah bangun menuju ke tempatnya.

Apabila diselak lagi akan asas masalah ini timbul, ia melibatkan pihak berkuasa juga. Hukum-hakam agama diremehkan. Agama itu dibenci dan secara giat cuba disisihkan daripada pengetahuan umatnya sendiri. Kalau ada mufti pun, Dr. Heikal percaya mufti di negerinya sahaja yang berani bersuara. Ada pula mufti yang mengarut juga... yang melarang penguatkuasaan agama daripada membenteras gejala maksiat di bilik-bilik hotel. Sedangkan mereka tidak sedar betapa ramai anak gadis MelayDeutro yang menjadi simpanan tauke-tauke besar di merata-rata kondominium.

Seterusnya, gerakan mengelirukan agama pun hebat juga. Penulis-penulis upahannya berselerak dan bebas menulis di mana-mana media arus perdana. Mereka menghina dan mempersoalkan integriti agama yang mereka sendiri berada jauh daripadanya. Suara sumbang para orientalis diperpanjangkan ke tengah-tengah masyarakat. Maka timbullah golongan anti hadis, Islam liberal, Islam moden termasuk Islam sekular. Mereka ghairah bercakap mengenai Islam mengikut acuan kepala otak mereka yang telah sedia kelabu itu.

Hirsi Ali

Hirsi Ali, seorang murtad dari Somalia telah dijadikan penghias muka depan di sebuah majalah Islam. Penulis jahatnya, Stora Jubo menyiarkan temubual berkait dengan kemurtadan gadis tersebut. Penulis yang sama juga sebelumnya menuduh ulama sebagai merapu. Dia juga turut menyokong saranan agar ibu tunggal dibolehkan melacur dalam keadaan terdesak! Anehnya, pihak berkuasa membiarkan sahaja ‘Abdullah Ubai’ Stora Jubo ini daripada terus-terusan mengelirukan orang ramai mengenai Islam.

Anehnya, mereka ini bersolat pun tidak! Sebagaimana tersebut hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad bahawa; ‘Sempadan di antara seorang muslim dengan yang kafirnya adalah solatnya.’

Menurut Ahmad dan Ashabus-sunan sebagaimana kata Nabi Besar Muhammad saw; ‘Tanda-tanda yang membezakan kita dengan mereka (orang kafir) adalah solat. Maka barang siapa yang meninggalkannya, maka kafirlah dia.’

Menurut ijmak ulama, seseorang yang meninggalkan solat kerana mengengkari kewajipan atau mengejek akan kesuciannya maka orang itu adalah kafir dan murtad. Perbuatan mengengkari dan meremehkan kewajipan ini bererti mendustakan Allah dan Rasul-Nya. Kekafiran ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah swt dalam Surah Al-Maidah: 58;

‘Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) solat, mereka menjadikannya bahan ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu menggunakan akal.’

“Tidak mahu menggunakan akal di sini sama tarafnya dengan haiwan,” kata Dr. Heikal lalu meninggalkan Rizal. Dia pergi mendapatkan Sariah yang nampak asyik dengan draf laluan lebuhraya pesisir pantai yang kerap kali dipinda itu.



Elias Hj Idris
Dari sekian banyak perjuangan yang dilakukan oleh ahli tasauf sepanjang masa, ada satu yang kita namakan jihad, iaitu mujahadatun-nafsi; berjuang melawan kemahuan-kemahuan yang tidak baik, yang tumbuh dalam diri setiap manusia. Bagaimana menentang dan membangkang segala kemajuan nafsu yang tidak baik?

Bagaimana manusia harus mensederhanakan nafsu dan syahwatnya?

Perlu diingat, manusia bukanlah namanya manusia jika tidak ada nafsu dan syahwatnya. Namun jika nafsu dan syahwat itu dituruti lebih banyak daripada yang sepatutnya, maka akan timbullah sifat kehaiwanan. Sifat haiwan ini cuma berlegar di sekitar kemahuan untuk makan, tidur dan seks. Kemudian dia akan makan, tidur dan begitulah seterusnya. Jadi mesti ada keseimbangan sekadar perlu dengan menolak yang selebihnya.

Inilah yang disebut dengan membersihkan hati daripada hawa nafsu dan syahwat. Apabila kedua-duanya telah tercapai, ada satu lagi rencana ilmu tasauf; iaitu membuka hijab lahir yang selalu mengurung atau membatasi pandangan-pandangan ruhani kita yang bisa tembus; yang sentiasa dapat melihat jauh ke hadapan, pada masa-masa di kemudian hari, melihat ke dalam kubur; melihat sampai ke padang mashsyar yang sangat luas selama 1,000 tahun itu dan kepada keadaan selepas itu pula.

Ini memerlukan pengikut tasauf membersihkan hati, membersihkan cita-cita, membersihkan fikiran supaya dapat dia membersihkan sekelian anggotanya daripada pekerjaan yang terlarang. Ini yang meminta setiap pencinta Tuhan itu memperbaiki segala sifatnya dan menambah tinggi nilai akhlak dan adatnya serta amal ibadatnya setiap hari; di samping semakin kuat dan erat hubungan fikiran dan cita-citanya akan Allah swt.

Apabila ini telah dapat dicapai sedikit demi sedikit, maka barulah sang manusia itu akan dapat naik ke kedudukan yang lebih besar. Dia sudah tidak lagi berada dalam keadaan melatih diri kerana kebiasaannya menjauhi hawa dan nafsu telah pun tercapai. Dia akan naik ke tahap yang lebih tinggi dengan memikirkan rahsia-rahsia Tuhan di seluruh alam ini.

Seterusnya, setelah ini pun dapat dicapai maka dia akan menaiki sebuah anak tangga lagi, yang sangat mulia dan berbahagialah buat mereka yang telah dapat sampai ke sana - iaitu mula memerhatikan kebesaran dan kemuliaan Allah swt, Pencipta seluruh alam ini. Dia mula melihat cahaya-cahaya kesucian Tuhan di mana sahaja dia hadapkan pandangannya. Di akhirnya, dia akan tenggelam dalam sinaran Ketuhanan Yang Maha Esa, Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Gagah dan Maha Indah itu.

Ini membuatkan mata lahir dan mata hatinya sudah tidak akan mahu berpindah melihat atau memerhatikan segala yang lain daripada Allah. Sebab segala yang lain itu sudah dikira terlalu kecil, rendah dan kurang sekali nilainya.