Elias Hj Idris
++ Gambar hiasan ++
Entah kenapa, hatinya asyik berdebar-debar?

SELEPAS selesai khatam al-Quran, Nur Anita bersiap-siap dengan pakaian pengantin. Mak Andam yang solekkan dia dengan mengenakan pakaian khas untuk upacara akad nikah yang telah disewa. Rimasnya bila kain tebal itu dipakai. Peluh semakin menjadi-jadi sementara menunggu ketibaan rombongan pengantin lelaki untuk majlis akad nikah.

Rombongan Kamarul Izzat tiba kira-kira jam 12.00 tengah hari dan tok kadi telah pun bersedia untuk menjalankan upacara yang berlangsung di anjung. Riuh-rendah kedengaran perbualan kaum lelaki dari rombongan Kamarul Izzat apabila bertemu dengan ahli keluarga dari pihak tuan rumah. Chor Lanan pun ada sama dengan lawaknya yang bersahaja.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Long masuk ke bilik pengantin untuk mendapatkan persetujuannya. Borang nikah Nur Anita ditandatangani dengan tangan yang menggeletar. Nurul Asyira, Rosmaniza, Sharmaine, Sarah dan beberapa orang kawan yang lain tersenyum-simpul melihat gelagatnya. Mereka gembira tanpa mengetahui betapa berdebar hatinya di dalam?

Air matanya sesekali bergenang lagi. Bibirnya asyik bergetar. Hati di dalam berbelah bahagi... Nur Anita jelas berada di persimpangan. Sedangkan, majlis pada tengah hari itulah yang akan memuktamadkan. Nur Anita bakal dirasmikan menjadi hak seseorang yang tidak pernah menjelma di dalam hidupnya selama itu. Satu suasana aneh yang harus dilaluinya. Dalam hatinya, Nur Anita masih kesal - kenapa pinangan lelaki itu yang mesti diterima? Sedangkan dia masih tidak pasti.

“Usah dok murung... dah nak nikah ni!” dengus Nurul Asyira di tepi telinga.

Nur Anita mengangguk sambil mengejitkan mata. Air jernihnya terburai dan menitis di atas belakang tangan yang ditopangkan atas lantai berpermadani tebal ketika duduk bersimpuh.

“Huhh... tengok tu! Orang perasan tau...,” Nurul Asyira berbisik lagi sambil menyerahkan sekotak tisu.

Nur Anita menggeleng. Hatinya benar-benar diamuk sayu.

Setelah selesai, Pak Long keluar, tetapi sempat dia menoleh melihatkan gelagat anak kemanakannya itu. Dia pun menggeleng. Hairan. Kemudian kedengaran di ruang tengah majlis akad nikah bakal dimulakan. Ayah mewakilkan walinya kepada tok kadi. Kemudian kedengaran bait-bait penyerahan yang cukup teratur. Ia bererti, ayah merelakan majlis itu diteruskan dengan berwalikan hakim.

Air matanya masih galak untuk bergenang lagi. Sesekali pandangannya terasa kabur dilindungi air jernih yang suam-suam itu - galak untuk segera menitis. Nur Anita mencapai kertas tisu lalu mengelapkannya.

Nurul Asyira memerhatikan gelagat temannya itu dengan penuh simpati. Demikian juga dengan teman-teman yang lain. Sarah seperti tertanya-tanya. Dia mengangkat kening, sebagai isyarat tanya kepada Sharmaine. Gadis tinggi lampai anak mami itu sekadar mengangkat bahunya. Nur Anita tunduk sambil mengesatkan hidungnya yang juga turut berair.

"Kau masih ada masa... nak lari ke?" Sarah bertanya nakal. "Kalau tak mau usah diteruskan!"

"Kau ni merepak saja la, Sarah," Sharmaine menegur.

Nur Anita tidak bersuara. Dia masih tunduk.

Dia tidak pasti perasaan Kamarul Izzat waktu itu. Tetapi, jelas dia juga kedengaran gugup apabila menyambut akad yang tuan kadi lafazkan. Dua kali Kamarul Izzat melafazkan nikahnya untuk memuaskan hati para saksi.

Selepas memeluk dan mencium anaknya ketika akad nikah sedang berlangsung ibu terus keluar dan menghilang. Mungkin dia melihat pada kelopak mata anaknya yang tergenang air jernih yang mungkin dia tidak pasti. Gembira atau duka. Kak Bedah masih di penjuru bilik, sementara Maheran menjenguk ke luar dari tepi tingkap. Leita pun tidak kelihatan.

Nurul Asyira menggenggam tangan temannya itu. Dia seolah-olah memberi perangsang. Dia memujuk hati sang pengantin agar tidak terus goyah dengan pertimbangan yang tidak pasti. Dia kerap menegur dan memujuk juga.

“Come on, Nita!” dengusnya. “It shouldn’t bethat way, honey....”

Nur Anita hanya mengemamkan bibir sekuat hati. Dia menggeleng, dan dia mula teringatkan Roy lagi. Nur Anita teringatkan Jeff juga. Kemudian keadaan berubah apabila Kamarul Izzat diiringi masuk untuk upacara menyarungkan cincin dan 'membatalkan air sembahyang' ikut cara adat orang Melayu. Debarnya mengencang, sedang Mak Teh dan beberapa anggota rombongan pihak lelaki turut masuk. Penuhlah bilik itu dan bergedup jadinya. Hawa sejuk pendingin pun sudah tidak terasa lagi.

Sekali lagi cincin disarungkan...

Nur Anita mencium tangan Kamarul Izzat - tanda hormat. Suami yang baru menerima akad itu mencapai lengan Nur Anita lalu mengucup di ubun-ubun isterinya. Tubuh badan yang menggeletar seketika itu juga timbul meremang geli dibuatnya. Gugup di dalam usah dikira. Nur Anita baru sedar, bahawa dia telah bersedia untuk menyerahkan diri dan tubuhnya kepada seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Itulah lelaki yang akan menjadi suami dan bakal mengemudikan bahtera kehidupan mereka di hari muka.

Lelaki itulah yang diharap bakal mengemudikannya ke arah yang lebih terjamin dan selamat; dunia serta di akhirat nanti. Itulah harapannya yang menggunung. Ia pertaruhan lantaran kesediaannya mengorbankan perasaan sendiri dengan tidak memilih Roy ataupun Jeff.

Keadaan ketika itu sunyi sepi dan semua pandangan tertumpu kepada mereka berdua. Kerlipan flash kamera sahaja yang kerap menerangi dan mengganggu suasana. Ketika itu Nur Anita segera teringatkan pesan ibu. Ibu yang berbisik di telinga sebelumnya, memintanya menjaga diri dan rumahtangga dengan baik dan sempurna.

Dan seketika itu juga air matanya mulai tepu kembali. Ia meleleh dan mengalir membelah mekap merah di pipi. Nurul Asyira segera mengelapkannya dengan kertas tisu di tangan. Kemudian Mak Teh dan rombongan pihak lelaki bersalam dengannya sebaik pengantin lelaki beredar keluar. Ada oleh-ole di tangan mereka ketika meraup salam. Berkeping-keping not merah dan biru muda lima puluh ringgit yang bertukar tangan. Semuanya diserahkan kepada Nurul Asyira yang berada di sebelahnya.

Sehingga ke upacara bersanding ibu tidak ada. Dia tetap tidak kelihatan. Pelamin yang terletak di luar bilik pengantin itu memenuhi ruang tengah rumah. Ia dihias indah bersekali dengan gerbang dan bunga-bungaannya. Itu pun ia menjadi pertikaian juga sebelumnya. Sejak mula Nur Anita memang tidak mahu disandingkan. Dia tidak mahu terikut-ikutkan dengan adat dan budaya Hindu yang masih menjadi warisan Melayu itu.

Malang, apabila ada di antara anggota keluarganya pun bukan luas sangat fahaman agama mereka. Pegangan agama pun seada-adanya sahaja seumpama main celup-celup, maka tradisi hedonisme itu masih mahu diteruskan. Budaya dan kebiasaan masih menjadi penentu kehidupan. Sama seperti orang lain, mereka pun terikut-ikutkan budaya fasiq dan jahil itu. Alasannya, peristiwa bersejarah itu tidak akan meriah jika persandingan tidak diadakan.

Akhirnya, Nur Anita terpaksa mengalah. Di hari berbahagia itu dia berdosa kepada Tuhan. Selain daripada percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki-perempuan ketika majlis itu diadakan, pengantin dipamerkan bagai barang dagangan. Adat jahiliah yang masih kemas membelenggu. Amat terasa akan keganjilannya, tetapi apa yang dapat dibuat selain daripada memasamkan muka. Leita, adiknya yang mengajarkan cara-caranya.

“Ala, cantiknya rupa kau, Nitaa...,” bisik Nurul Asyira sambil tunduk ketika mengipas. “Come on la, sayang!”

Nur Anita tersengih, tetapi cerianya tidak. Sementara itu puas juga dia mengerling pada puluhan mata yang asyik memerhatikan. Nur Anita masih mencari-cari ibu sejak pengantin diarak keluar naik ke pelamin lagi. Ibu tetap tidak kelihatan di celah-celah orang ramai yang berhimpit-himpit itu. Hingga ke waktu bergambar dan berlangsung upacara merenjis, ibu tetap tidak kelihatan. Hanya ayah, Kak Bedah serta Mak Teh sahaja yang merenjis.

Kenapa sejak malam berinai lagi ibu asyik mengesatkan air matanya? Adakah dia terlalu gembira atau hatinya sayu kerana melepaskan Nur Anita? Malah bukan ibu tidak pernah mengalami peristiwa begitu. Kakak dan abang-abang yang lain juga sudah pernah dan biasa berkahwin. Ibu nampak gembira sekali. Namun keadaannya agak berlainan buat kali itu. Kenapa?

Selepas bersanding di dalam rumah ada upacara lain pula di halaman. Ada istiadat merenjis dan bersilat pula. Hari panas terik membuatkan kain songket tebal yang dipakai itu serasa tidak selesa. Badannya rasa berbahang di dalam. Nur Anita mulai rimas, apatah pula hatinya memang terasa bungkam dengan upacara persandingan yang tidak menepati citarasanya itu. Dia memasamkan mukanya, sedangkan Nurul Asyira sudah tidak terkata apa-apa lagi. Dia hanya mengipas dan sesekali membetulkan kain tudung yang telah menyembunyikan rambutnya daripada berjuntaian itu.

"Dunia punya la aman-damai, tapi malam karang... ada orang yang nak berperang!" entah suara siapa yang menyindir.

Mereka terus diusik dengan berbagai sindiran oleh suara-suara nakal tentang malam pengantin. Nur Anita tahu suaminya, Kamarul Izzat amat terhibur dengan usikan tersebut. Dia asyik tersengih, sedangkan Nur Anita berasa teramat malu untuk mendengarnya. Di antara yang kedengaran ialah suara Pak Lang, Pak Ngah begitu juga dengan Mak Teh, Mak Cik dan Mak Su Kamarul Izzat yang turut mengusik.

Namun keadaan sungguh memenatkan. Dia serasa mengantuk pula.
Elias Hj Idris
Rahsia hati yang masih tersembunyi...

Orang istimewa yang dikatakan itu bukanlah ‘boyfriend’nya. Pun bukan juga kawannya. Lelaki itu adalah teman Mastura, kakaknya. Dia hanya tahu apabila kakaknya memberitahu ketika mereka pergi set rambut petang itu.

“Habis tu... apa yang nak diterperanjatkan pula?” Sharmaine yang sejak lama mengikuti perbualan masih tidak faham.

“Entah apa-apa la dia ni!” Nur Anita mencelah sambil memerhatikan dari balik cermin. Mulutnya digayakan sambil melurutkan tisu di tepi bibir. Sesekali dia menjeling Nurul Asyira yang sedang menguis-nguis ekor rambut dekat telinga kirinya.

“Cantik dah tu,” usik Sharmaine tersengih. “Kalau dah tak ada boyfriend tak ada siapa pun yang nak tegur rambut kau tu nanti.”

“Kakak Nita cakap... dia ada jemput Fareik datang,” jelas Nurul Asyira sambil berlalu ke almari. Pintu almari ditutupnya perlahan, “Then... Fareik was agreed to come.”

“Fareik yang mana?” Sharmaine mengerutkan wajahnya. Nur Anita menjeling kepada Nurul Asyira kemudian berpindah kepada Sarah. Dia tidak pasti Fareik yang mana. Kalau Fareik, yang bertugas di bahagian kargo itu memanglah dia kenal. Tetapi apa kena-mengenanya dengan Fareik? detik hatinya.

“Fareik yang mana, Nurul?” Nur Anita mengerutkan dahi. “Fareik yang banyak girlfriend palayboya tu ka?”

“Ooo... tolong sikit,” pintas Sarah melompat ke tepi cermin lalu tertolak Nur Anita ke tepi.

“Auuu... Sarah, lips Nita ni... tengok la,” Nur Anita menjerit bagaikan mahu menangis.

Pipinya telah tercontengkan dengan lipstick.

“Ala... ala..., cayang,” rayu  Sarah sambil memalingkan muka temannya itu kepadanya. Dicapai kertas tisu dari atas almari solek. “Alaa... hodohnya pontianak mabuk ni!”

Nur Anita tidak bersuara, sambil memejamkan mata dan membiarkan Sarah mengesat kembali pipinya yang tercomot itu. Sayangnya, Sarah masih lagi bertugas di syarikat lama mereka. Dia tidak ikut memohon kerja ketika Nur Anita dan Nurul Asyira pergi temuduga di syarikat tempat mereka bekerja sekarang. Dialah orang yang paling bising, apabila secara tiba-tiba Nur Anita hendak meletakkan jawatan.

Nur Anita masih terbayangkan bagaimana Fareik pernah mencuit punggungnya ketika syarikat merayakan penerimaan anugerah pelancongan. Lebih teruk Fareik pernah cuba menciumnya ketika di dalam bilik bos pada malam tahun baru yang lalu. Hingga kini Nur Anita sedar betapa bencinya pada Fareik masih membekas.

Dalam pada itu, air mata masih galak untuk tergenang di kelopaknya. Nur Anita masih juga teringatkan Roy dan Jeff. Dia teringatkan Jeff yang mungkin sedang berada di Labuan. Dia teringatkan rantai pemberian lelaki itu yang masih dipakai. Sebenarnya, rantai itulah yang telah banyak menggugat hati dan perasaannya. Ia jelas mengocak setiap usaha untuk menyerahkan hati seluruhnya kepada Kamarul Izzat.

Apa kata nanti sekiranya, Kamarul Izzat sendiri yang terperasankan kehadiran rantai itu? Sekarang mungkin Nur Anita boleh sembunyikan di dalam baju, bagaimana setelah mereka hidup bersama nanti? Bagaimana pula dengan rantai hantaran Kamarul Izzat yang masih belum disentuh itu? Ia masih lagi tersimpan dalam laci almari.

“Dah... dah jangan nangis! Nanti rosak mekap tu,” sanggah Maheran apabila melihat Nur Anita sedang mengetap bibir sambil cuba mengawal perasaan.

Sarah segera datang lalu menarik Nur Anita duduk di kerusi depan cermin.
“Mari! Ada lagi eye shadow yang tak cukup ni,” jelasnya.

Nurul Asyira memerhatikan gelagat temannya itu.

“Memang begini la selalunya, terutama pada saat-saat...,” Nurul Asyira terhenti sambil menghampiri bakal pengantin. “Banyak kenangan lalu yang datang menjengah. Ia diselangi peristiwa manis dengan seseorang yang tidak kunjung tiba....”

Nur Anita mendongak. “Jangan cakap macam tu, Nurul.”

“Huhh... aku mengerti akan perasaan kau, Nita,” sahut Nurul Asyira sambil meramas-ramas tangan temannya itu. "Aku pun bukannya baru kenal dengan kau...."
Elias Hj Idris
Kita telah membicarakan marhalah pertama dalam menempuh tingkat-tingkat perkembangan tasauf.

ii) Empat Tingkat Perkembangan Tasauf

Ia bahagian ibadat, bahagian limpahan dan bahagian mahabbah. Ia adalah syarat utama buat seseorang masuk dan mula merasainya. Ada 2 syarat - mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap al-Quran dan sunah Nabi saw. Kedua-duanya itulah yang dinamakan tariqat atau jalan tasauf yang mesti ditempuh oeh setiap pencinta dan penggemarnya.

(Nota:  Sebenarnya, tingkat-tingkat perkembangan tasauf ini telah dibincangkan dalam 'Beza Nafsu Orang Awam & Wali' sebelum ini; yang meliputi nafsu ammarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan nafsu insan kamil (ada 7 maqam di mana dua yang terawal itu adalah golongan yang tidakkan mencium bau syurga). Hanya dari tingkat nafsu mulhamah sahaja baru seseorang itu sampai ke tingkat penyucian jiwa yang cemar.

Perbincangan di bawah idea yang sama ini adalah untuk membolehkan kita menilai sudut pandangan yang berlainan oleh tuk guru yang juga lain).

Kedua-dua tingkat pengetahuan yang tinggi itu mesti ditempuhi dengan 4 marhalah - perjalanan (jarak yang jauh!).

a) Marhalah amal zahir
Proses mendekatkan diri

b)  Marhalah amal batin (muraqabah diri)

Amal batin ini atau proses mendekatkan diri kepada Allah swt dengan selalu mengingatiNya sambil mendekatkan diri ini dapat dilakukan dengan menyucikan akhlak, menyucikan hati, membersihkan ruh, memerangi nafsu dan memperhatikan jalan peperangan dengan nafsu, memakai akhlak yang mulia, sambil memakai sifat-sifat yang baik dan mengikut sifat Nabi saw dalam setiap hal.

Ia adalah tugas-tugas dalam marhalah kedua yang menetapkan usaha bukan sedikit. Ia melibatkan seluruh lapangan kerja batin yang berkait dengan ruh kita.

c)  Marhalah melatih diri

Ia disebut juga dengan nama riyadhah atau mujahadah, iaitu proses melatih diri dengan mendorong diri itu dengan sekuat tenaga dalam memerangi kehendak nafsu. Inilah yang disebut oleh baginda saw, "Raja'na minal jihadil-asghar ilal jihadil-akbar", iaitu kita kembali daripada perang yang kecil kepada perang yang lebih besar.

Perang besar itu adalah melatih diri dalam melaksanakan segala hasil daripada kemenangan itu, memeliharanya untuk mencapai kemenangan yang lebih tinggi. Dalam masa yang sama jangan sekali-kali melakukan kesalahan dan kerosakan dalam memelihara segala kemenangan yang telah dicapai supaya jangan timbul sebarang unsur kehancuran dari mana-mana sudut kemenangan berkenaan. Ia merosakkan.

Kemenangan dicapai di lokasi baru, tetapi kebejatan berlaku di lokasi lama yang ditinggalkan. Buat diri seseorang, ia seumpama gali lubang tutup lubang - bergelumang dengan kerja yang sia-sia.

Jihad besar bermaksud melakukan jihad lahir-batin untuk menambah kuat kekuasaan ruhani dan jasmani bagi pembebasan jiwa dari segala kekotoran duniawi. Hasilnya kelak, jiwa akan semakin suci, bersih dan mengilap sehingga mustahiqlah ia dalam mendapatkan segala pengetahuan hakiki mengenai  Allah saw dan kebesaranNya.

Biasanya, bagi mereka yang telah mencapai ke tahap ini, iaitu hakikat alam dan rahsia-rahsianya itu telah tercetak di dalam jiwanya itu sedikit demi sedikit dengan dimasuki nur Ilahi. Di waktu itu, maka bermulalah keterbukaan akan keindahan alam ini dengan pelbagai hal yang 'halus' dan rahsia.

Perasaannya akan semakin tipis, semakin siap sedia mengetahui apa sahaja yang terlintas ibarat kompas yang hidup atau radar yang mengetahui apa sahaja yang ada di sekeliling. Dia mula menikmati suatu kelazatan dan nikmat rasa yang tinggi dengan memperoleh nur taqwa di dalam jiwanya. Kemudian ia akan diikuti oleh kasyaf hati. Kemudian menyusul lagi lalu terbuka hijab sedikit demi sedikit sehingga sampai kepada ar-ridha dan cahaya yang maha tinggi.

d)  Marhalah fana' kamil

Ia mencapai ke taraf fana' habis

Ia juga memberi makna fana' habis, iaitu jiwanya telah sampai kepada martabat syuhudul haqqi bil-haqqi, iaitu melihat Yang Hak itu dengan kebenaran. Kemudian terbuka dengan terang pelbagai rahsia alam yang selama ini tersembunyi daripadanya. Kemudian terbuka pula rahsia-rahsia Rabbani lalu datanglah secara berturut-turut Nur dan kasyaf ke dalam dirinya.

Dia lalu memperoleh nikmat paling besar, iaitu kelazatan ruhaninya dalam mendekati Tuhannya. Kemudian dia akan berasa senang dan damai dalam berkhalwat mendekat ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa.

Pun begitu marhalah keempat itu belum tamat di situ lagi. Cuma kita yang tidak terdaya untuk menukilkan dalam bentuknya - kerana ia sudah tidak bisa untuk dihuraikan melalui tulisan ataupun dengan lisan. Ia telah melewati daerah kemampuan untuk menceritakan keindahannya.

Akal manusia dan khayalnya sudah tidak dapat sampai ke sana - di mana pencinta Tuhannya akan dapat melihat Tuhan dengan mata hatinya. Di sana dia akan dapat melihat apa yang tidak pernah dilihat oleh mata; mendengar akan apa yang tidak pernah didengar serta tidak pernah terlintas oleh mana-mana hati manusia.

Namun marhalah ini penuh dengan bahaya walaupun ia paling mulia, tinggi dan suci jika tidak mendapat perlindungan dan peliharaan oleh Allah swt. Ada waktu-waktunya kita mendapati kalangan ahli tasauf yang hilang ingatan apabila tiba ke marhalah ini. Ada yang tergelincir di tengah jalan yang dilaluinya - jatuh kepada apa yang telah ditakdirkan Allah untuk dirinya.

Namun bagi sesiapa yang telah sampai ke tahap ini dan tetap berjalan di tengah-tengah jalannya maka dia akan mendapat rahmat melakukan ibadat yang tetap - mendapat musyahadah dengan Yang Maha Tinggi. Dia akan mendapat rahmat tetap tenggelam karam dalam mencintai dan dicintai oleh Allah swt. Dia mendapat ruh yang akan memeliharanya dan menjadi imam dari alam ini.

Sahl at-Tasatturi, imam besar sufi berkata, "Ada seorang yang solat di lapangan. Di waktu dia keluar dari solatnya turut serta sejumlah besar malaikat yang merupakan beberapa buah gunung besar kerana dek banyaknya mereka. Malaikat-malaikat itu bubar dari solatnya dengan disaksikan olehnya sendiri."
 

Ini adalah sebahagian daripada orang yang telah mencapai ke taraf marhalah keempat ini sehingga apabila dia solat di kawasan lapang banyak sekali para malaikat yang ikut serta. Apabila selesai mereka pun beredar dengan disaksikan sendiri oleh sang sufi itu.

Pun begitu ada lagi sufi bertaraf tinggi yang lain seperti kata Imam Besar Muhyiddin Ibnul Arabi dengan ibarat, "Ada seorang yang solat di satu lapangan. Solatnya diikuti oleh sejumlah besar malaikat yang berupakan beberapa gunung kerana dek banyaknya. Orang itu keluar meninggalkan solatnya dari tempat itu tanpa diketahui oleh seorang pun dari kalangan malaikat berkenaan kerana mereka tidak tahu ke mana dia telah pergi?"

Inilah taraf yang paling tinggi dan tidak termampu untuk dihuraikan; apabila para malaikat pun hingga menjadi tertanya-tanya! Ia boleh dikira sebagai marhalah kelima dek kerana terlalu tinggi darjat yang Allah swt kurniakan. Sekadar itu sahaja yang dapat diungkapkan bagi perjalanan seseorang yang ingin mencapai ke taraf sufi - dengan melalui empat marhalah atau perjalanan.

Ini adalah tingkat-tingkat perjalanan sang sufi selain daripada maqam-maqam yang telah dibincangkan di bawah tajuk 'Beza Nafsu Orang Awam & Wali'.
Elias Hj Idris
Setiap perbincangan akan menjadi manfaat dan menjadi asbab bertambahnya pengetahuan kita jika perbincangan tersebut mengikuti adab-adabnya;

i) Ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala - bukan mencari kemasyhuran, bukan bertujuan untuk mematikan hujjah orang lain.

ii) Jika kita mengeluarkan dalil, pastikan ia dari sumber yang sahih; Al-Qur'an, Hadis Nabi dan huraian ulama mu'tabarah berkenaan dalil-dalil tersebut. Jangan sesekali membuat tafsiran sendiri.

iii) Mengetahui methodolgi istimbat hukum - cara bagaimana sesuatu hukum dikeluarkan oleh ulama (Ini untuk mereka yang sering bertanyakan/ mempersoalkan dalil).

iv) Mengawal perasaan supaya tidak terbawa-bawa dengan ammarah atau terhasut dengan bisikan syaitan.

v) Tidak membincangkan secara berlibihan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan pokok persoalan.

vi) Jika kita tidak pasti tentang sesuatu sebaiknya bertanya daripada memberikan kenyataan.

vii) Jauhi daripada mencaci, maki hamun dsb.

InsyaAllah jika kita dapat mematuhi adab-adab ini, maka perbincangan akan menjadi ibadah dan sangat bermanfaat untuk kehidupan. Sebaliknya suatu perbincangan akan dianggap pertandingan/perdebatan yang sia-sia sekiranya di dalamnya terkandung unsur-unsur ria', berhujjah tanpa ilmu, bertujuan saling menjatuhkan.

Iman itu harganya adalah kelazatan dlm berinteraksi dengan Allah...

Nilai aqidah itu adalah pada penghayatannya, bukan pada perbahasan. Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza, tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka. Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-sholeh) khususnya para sahabat r.a. adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri.

Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehidupan. Bagaimana generasi sahabat r.a. khususnya, tidak pernah kenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka? Ramai orang kata, kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam. Ada orang juga kata, kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka. Benar, tetapi bukan sekadar itu sahaja. Kunci utama kekuatan mereka adalah pada penghayatan mereka terhadap aqidah.

Kuncinya adalah pada kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.Kelazatan iman mereka membawa kepada mengenal makna hidup yang lebih besar. Ia adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian. Ia lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut berasa diri itu tidak berdosa yang mana itu juga sifat 'ujub yang tercela.

استغفر الله العظيم من كل زور نطقت به
استغفر الله العظيم من كل حق أضعته
استغفر الله العظيم من كل باطل اتبعته
استغفر الله العظيم من كل وقت أهدرته
استغفر الله العظيم من كل ضمير قتلته
استغفر الله العظيم من كل سر أفشيته

Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap ucapan burukku
Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap setiap kebenaran yang telah ku sia-siakan
Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap setiap kebatilan yang telah ku ikuti
Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap setiap waktu yang telah ku sia-siakan
Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap setiap perasaan yang telah ku sakiti
Aku meminta ampun dari Allah s.w.t. yang Maha Agung terhadap setiap rahsia yang telah ku bongkarkan


Persoalan:

Ada pihak yang mengatakan ilmu tasawwuf itu wajib 'aini bagi setiap mukallaf, tetapi mengapa kebanyakan orang Islam termasuk sesetengah ustaz dari kelulusan syari'ah pun mengatakan tasawwuf hanyalah sebagai menuntut 'kelebihan' atau 'fadhail' amal, bukan kewajipan? Ada pula golongan lain yang menganggapnya bid'ah dan sesat kerana tidak terdapat di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi saw.

Jawapan:

Sebelum menjawab soalan di atas secara detail sila perhatikan dahulu fakta berikut;

Kenyataan 1:  Al-Qur'an mempunyai ayat-ayat yang banyak dan hadis Nabi berjumlah ratusan ribu bahkan mungkin sampai satu juta hadis.

Kenyataan 2:  Al-Qur'an adalah kalamullah yang tinggi, mengandungi makna-makna zahir dan makna tersurat yang sangat halus dan tersembunyi. Demikian juga hadis Nabi adalah perkhabaran, perintah, larangan... dan apabila diamnya Nabi - semua itu pada hakikatnya adalah dari Allah jua, kerana ia merupakan wahyu Allah ke dalam hati baginda. Ini bermakna hadis-hadis Nabi juga mengandungi makna-makna dan hikmah yang tersembunyi.

Kenyataan 3:  Di zaman Nabi, ketika para sahabat bersama Nabi, segala kemusykilan dan permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam dijawab oleh baginda sendiri. Ini berkait dengan hikmah Ilahi yang telah menurunkan Al-Qur'an secara beransur-ansur, iaitu tidak dengan sekaligus.

Kenyataan 4:  Setelah Nabi wafat, di kurun pertama Hijrah, timbul perselisihan pendapat di kalangan umat Islam darihal hukum-hukum Islam. Sebahagian besar daripadanya adalah kerana tidak memahami dasar-dasar agama, kemudian kerana tiada kemampuan dalam memahami Al-Qur'an dan hadis Nabi disebabkan oleh ketinggian falsafahnya.

Perbezaan pendapat ini meruncing pada suatu ketika sehingga menyebabkan penyewengan dalam bab usul dan aqidah. Perbezaan ini telah melahirkan orang-orang Islam yang menyeleweng dari sudut; Aqidah; Ilmu kebatinan; Amalan atau ibadah.

Kenyataan 5:  Apabila menyedari akan hakikat penyelewengan ini, di samping menyedari tiada kemampuan bagi umat untuk memahami agama dengan meneliti sendiri kalamullah dan hadis Nabi, maka para ulama' tabi'in (yang mewarisi ilmu Nabi dari para sahabat baginda) mula menyusun ilmu-ilmu dari Al-Qur'an dan hadis Nabi menurut bab-bab tertentu dan tersendiri dengan mengambil faham daripada para sahabat.

Dari sini lahirlah ulama-ulama mujtahidin dalam pelbagai bidang ilmu - ilmu fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir, disiplin ilmu hadis, ilmu qira'at, ilmu tajwid, ilmu nahwu-saraf dan lain-lain lagi. Seluruh ilmu ini diijtihad dan disusun oleh para ulama berdasarkan ilmu yang mereka terima daripada para sahabat Nabi.

Dari kesemua kenyataan di atas anda akan melihat bahawa;

i)  Fiqh, usuluddin dan tasawwuf adalah ijtihad ulama pewaris Nabi berdasarkan Al-Qur'an dan hadis Nabi. Ia bukan rekaan atau ciptaan akal mereka sendiri.

ii) Istilah-istilah fiqh, usuluddin, tasawwuf dll tidak wujud pada zaman Nabi. Ia hanya muncul dalam bentuk amali yang bersumberkan Al-Qur'an dan hadis Nabi.

iii) Kebanyakan orang Islam tidak memahami Al-Qur'an dan hadis Nabi, bahkan tidak mengetahui sejumlah besar Ayat Qur'an dan hadis. Maka memadai dengan merujuk kepada kitab-kitab ulama mu'tabarah untuk mengetahui darihal hukum-hukum dalam kehidupan ini.

iv) Adalah tidak mungkin bagi orang-orang jahil dalam ilmu Islam akan menerbitkan hukum sendiri dengan hanya membaca Al-Qur'an dan hadis Nabi. Jika mereka mencuba juga, maka tiada syak lagi mereka merosakkan diri sendiri kerana amaran Nabi yang melarang mentafsirkan Al-Qur'an dengan corak pemikiran sendiri.

Maka mematuhi saranan ulama mu'tabarah adalah jalan paling selamat untuk amalkan Islam bagi orang awam. Jadi, daripada kenyataan di atas, kita memahami tasawwuf sebagai salah satu ilmu yang wajib dituntut dan diamalkan oleh umat Islam lelaki dan wanita, sebagaimana perkataan ulama mu'tabarah.

Namun kenapa ramai yang tidak tahu?

Di sini perbahasan jadi menarik yang berpunca daripada;

*   Kejahilan umat Islam sendiri - tidak berusaha memahami Islam yang sebenar. Kebanyakannya sudah berasa cukup dengan menjadi Islam baka, Islam kerana ibu-bapanya Islam. Maka lahirlah orang Islam sendiri yang menjadi penentang agama Allah. Jadilah sebahagian mereka itu dari kalangan fasiq dan kufur!

*  Rencana jahat yahudi, nasrani, orientalis barat. Mereka mengetahui bahawa sumber kekuatan umat Islam adalah dalam kekuatan batin mereka. Kekuatan batin mereka itu datang hasil didikan tasawwuf yang aslinya bersumberkan Al-Qur'an dan hadis Nabi.

Di antara rencana kejahatan mereka adalah memberi gambaran palsu bahawa tasawwuf itu kononnya bukan dari Islam. Jika diamalkan tasawwuf orang Islam akan menjadi mundur, kononnya tasawwuf dan sufi itu adalah dari ajaran Hindu dan berbagai propaganda kejahatan lagi.

Paling tidak mereka mendakyahkan tasawwuf adalah untuk golongan tertentu sahaja. Sama seperti tuk sami dan paderi.

Apa yang lebih menarik apabila ada sebahagian daripada orang Islam sendiri yang menjadi ejen iblis untuk membuat tuduhan jahat itu. Maka apakah kejahatan yang lebih buruk daripada kejahatan tersebut?

Maka secara umum perhatikanlah dari mana sumber pengambilan ilmu kita!

Nota:  Dipetik daripada garapan sdra rafie1357 dan kaunselor.
Elias Hj Idris
Kepada sekelian pengikut dan murid yang budiman, kita hendaklah memperbanyakkan tafakkur - merenungi diri, yang terbahagia kepada tiga aspek;

i)  Tafakkur dalam keajaiban akan qudrat Tuhan Yang Maha Berkuasa, dan keindahan kerajaan langit dan bumi. Buah tafakkur ini adalah untuk mencapai ma'rifat (pengenalan) kepada Allah swt;

ii)  Tafakkur dalam anugerah Tuhan dan nikmatNya yang begitu banyak diberikan kepada sang makhluk. Buah tafakkur ini adalah untuk mencetuskan perasaan cinta terhadap Allah swt;

iii) Tafakkur dalam urusan dunia dan urusan akhirat serta hal semua makhlukNya yang berkecimpung di kedua-dua kehidupan berkenaan. Buah tafakkur ini adalah untuk menimbulkan sifat membelakangkan dunia, tetapi cenderung kepada akhirat.

Melazimkan zikir, "Laa ilaha illallah...."

Cara Menolak Sifat Malas untuk Ta'at

Jika mendapati diri dalam keadaan yang amat malas mengerjakan ketaatan dan berat sekali untuk melakukan kebajikan, maka hendaklah kita memimpin diri itu ke alam cita-cita dan harapan. Ingatlah akan apa yang Allah janjikan terhadap orang-orang yang beramal dalam ketaatan kepadaNya - bahawa mereka akan memperoleh kemenangan yang besar dengan mengecap nikmat yang kekal, mendapat keredhaan Allah swt sehingga dibenarkan tinggal dalam syurgaNya yang amat luas itu.

Di samping itu mereka akan diberikan kemuliaan, penghormatan, pangkat dan darjat di sisi Allah swt serta di sisi sekelian hambaNya yang dimuliakan.

Namun sekiranya kita berasakan terlalu amat cenderung untuk mengerjakan perkara yang salah di sisi syara', dan suka melakukan maksiat, dan dosa maka hendaklah kita meluruskannya dengan cemeti/cabuk yang menakutkan; iaitu kita harus ingat akan segala ancaman Allah swt terhadap sekelian hamba yang menderhaka terhadapNya. Kita akan dihina dan dikeji, disiksan dan diazab serta dihalang dari segala kenikmatan akhirat sehingga dipandang terlalu hina dan dalam keadaan merugi.

Jadi, ingatlah jangan sampai sekali-kali kita terjerumus ke dalam golongan orang-orang yang terlalu memandang ringan terhadap hal yang berkait dengan syurga dan neraka. Sebaliknya, kita hendaklah memandang berat sebagai apa yang paling dititik-beratkan oleh Allah swt dan rasulNya. Beramallah semata-mata kerana Allah swt. Hendaklah kita sentiasa memohon agar Dia memasukkan kita ke dalam syurgaNya, dan melindungi kita daripada neraka dengan rahmat dan belas kasihanNya.

Jika syaitan terkutuk itu membisikkan, "Sesungguhnya Allah swt itu Maha Kaya... Dia tidak berhajat kepada amalmu, dan segala ketaatanmu tidak mendatangkan apa-apa munafaat bagiNya. Ia sama seperti kemaksiatanmu yang tidak akan menyebabkan sesuatu yang mudarat pula."

Jawapannya, memang benar, katamu itu wahai syaitan. Akan tetapi aku ini fakir, yang sangat berhajat akan rahmat Tuhanku, dan berhajat kepada amal soleh dan ketaatanku kerana kedua-duanya itu akan menyebabkan aku memperoleh munafaat yang banyak. Sedangkan maksiat itu pula hanya akan membahayakan diriku. Maka inilah yang diberitakan oleh Allah swt dalam kitabNya yang mulia menerusi lisan rasulNya.

Jika syaitan itu berkata lagi, "Sekiranya engkau tercatat sebagai seorang yang bahagia di sisi Allah, maka bukankah engkau tidak syak lagi akan masuk syurga - tidak kira sama ada engkau seorang yang banyak membuat ketaatan ataupun banyak membuat maksiat.

Jika engkau tercatat sebagai seorang yang celaka di sisiNya, maka engkau akan dimasukkanNya ke dalam neraka jua meskipun engkau seorang yang taat. Bukankah itu semua telah tercatat di azali?"

Di ketika itu jangan sekali-kali kita terpengaruh memandangkan segala perkara mendatang itu adalah perkara ghaib - tiada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah swt semata-mata. Malah tiada sesiapa pun yang boleh masuk campur dalam urusan ini! Namun ketaatan itu adalah bukti dan dalil yang menunjukkan masadepan yang bahagia - di mana antara syurga dan orang yang taat itu hanya sekadar memastikan dia harus mati dalam ketaatannya.

Sama halnya dengan maksiat yang merupakan bukti dan dalil yang menunjukkan masadepan yang celaka - di mana garis pemisah di antara neraka dengan orang yang menderhaka itu hanya sekadar memastikan dia harus mati dalam kemaksiatannya.

Jelasnya, ahli syurga adalah mereka yang beramal dengan amalan ahli syurga, demikian sebaliknya ahli neraka adalah mereka yang beramal dengan amalan ahli neraka. Jika diikutkan perbidalan Melayu; tepuk dada tanyalah selera lantaran sekian banyak utusan dan peringatan telah pun Allah swt sampaikan melalui para nabi dan kitab-kitabNya.

Samalah seperti anjing dengan bayang-bayang, terlepas tulang sesal tak hilang. Dengar kata enggang, makan buah belolok; dengar kata orang nanti sendiri yang terjun masuk lubuk.
Elias Hj Idris
Muqaddimah

Kita sering mendengar berleluasanya kisah-kisah Israiliyat di ceramah-ceramah atau pengajian yang dihadiri. Ada kalanya perkara tersebut di luar pengetahuan kita, malah ketika mendengar buat pertama kali terus berasa seronok dan terpegun dengan kisah yang diceritakan. Namun, bagaimanakah pandangan agama Islam terhadap kisah-kisah ini? Adakah para ulama' terdahulu menolak daripada menerima cerita Israiliyat?

Ini Yahudi Ortodoks;
Ada Yahudi pada zaman itu yang memeluk Islam
lalu membawa bersama dongeng agama lama mereka

Asal Kalimah

1. إسرائيليات – kata jama' kepada kalimah إسرائيليةyang dinisbahkan kepada Bani Israel. Manakala yang dimaksudkan dengan Israel ialah Nabi Ya'kub a.s., dan Bani Israel ialah anak-anak serta keturunan baginda walaupun sehingga zaman Nabi Muhammad saw.

Firman Allah swt dalam surah Maryam ayat 58;

"Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil - dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis".

Sejak dahulu, mereka dikenali dengan nama Yahudi di samping golongan Nasrani yang beriman dengan Nabi Isa a.s. Allah swt menyebutkan pada beberapa tempat berkenaan dengan Bani Israel sebagai tanda sifat kebaikan yang ada pada Nabi Ya'kub sehingga keturunannya akan mengikuti jejak langkah yang telah ditinggalkan serta meninggalkan perbuatan yang keji dan tercela.

2. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa Israiliyyat membawa beberapa maksud.

• Cerita-cerita terdahulu dan riwayat yang banyak bersumberkan daripada golongan Yahudi berbanding Nasrani.

• Riwayat yang disampaikan oleh perempuan Yahudi atau Nasrani.

• Perkara yang masuk ke dalam kitab karangan ulama' silam terutamanya dalam bidang tafsir yang mempunyai susur-galur riwayat samada daripada Yahudi atau Nasrani. Adapun riwayat yang tiada asal dan tergantung maka ia dikira sebagai khurafat, atau kisah-kisah palsu.

Namun, berdasarkan pengertian ini kita melihat riwayat Israiliyyat banyak mengambil sumber daripada Yahudi disebabkan ramainya bilangan mereka di Tanah Arab berbanding masyarakat Nasrani. Kemudian setelah beberapa orang dari kalangan mereka memeluk agama Islam, dan meriwayatkan kisah-kisah yang terdapat dalam agama lama mereka kepada kaum muslimin.


Sejarah Ringkas Kemunculan Israiliyyat

Pada tahun 70M, masyarakat Yahudi datang ke Tanah Arab melarikan diri dari Syam setelah musnahnya Haikal dan menetap di kawasan Yathrib, Taima’, Himyar, dan Wadi Al-Qura’. Namun orang Arab hanya mengetahui tentang agama Yahudi ini selepas suatu ketika apabila masyarakat Yaman memeluk agama ini hasil dakwah Tubba’ (lelaki yang ingin menyerang Madinah sebelum Islam tetapi telah dihalau) yang membawa bersamanya dua orang pendeta yang menyebarkan ajarannya itu di sana.

Berbeza dengan keadaan orang Nasrani yang sering ditindas oleh pelbagai golongan seperti penyembah berhala, kaum Yahudi dan kerajaan Byzantine. Kesannya, mereka lari ke Tanah Arab kerana ingin menjauhkan diri daripada penindasan yang disebabkan oleh perbezaan agama ini. Dakwah Nasrani di tempat baru mereka telah membuahkan hasil apabila beberapa orang telah memeluk ajarannya seperti Warqah bin Naufal, Imruul Qais, kabilah Ghassan, dan sebagainya.

Kewujudan dua puak ini (Yahudi dan Nasrani) memberikan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat Arab. Selain itu, aktiviti perniagaan juga sedikit sebanyak membuka peluang kepada masyarakat dalam mengenali dua agama ini. Setelah kedatangan Islam, berlakunya dialog dan perbahasan antara kaum Muslimin dan ahli kitab seperti yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Akibatnya, ramai di kalangan mereka yang memeluk agama Islam setelah jelas dan nyata bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw ialah agama yang benar. Namun, ada yang baik Islamnya sedangkan sebahagian yang lain menjadi munafiq, sebagai dalang kepada kaum Yahudi dan musyrikin dalam menghancurkan Islam dari dalam.

Perselisihan antara dua kelompok ini (Muslimin dan ahli kitab) tidak terhenti setakat ini sahaja. Pernah terjadi dialog antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bersama dengan pendeta, kisah seorang muslim memukul seorang Yahudi setelah Yahudi tersebut mengatakan; "Tidak, sebenarnya Nabi Musa ialah pilihan sekalian alam," dan pelbagai lagi yang menunjukkan perselisihan pendapat di kalangan mereka. Nabi saw pada waktu itu berperanan sebagai orang tengah yang memperjelaskan keadaan sebenar kepada salah faham yang berlaku antara dua golongan ini. Perkara ini berterusan pada zaman para sahabat apabila mereka bertindak sebagai pihak rujukan masyarakat pada ketika itu setelah wafatnya baginda.

Pada zaman tabi'in pula, pendustaan dan pemalsuan banyak berlaku kerana menurut hawa nafsu sehingga menyebabkan manusia tidak dapat membezakan antara suatu yang baik dan buruk. Ada di kalangan para tabi'in (asal Yahudi atau Nasrani yang memeluk agama Islam) mengambil sikap bermudah-mudah dalam meriwayatkan sesuatu, sehingga bukan kisah Israiliiyat sahaja yang diriwayatkan bahkan khurafat dan dongeng yang tidak mempunyai sandaran. Faktor lain yang membantu penyebaran ini ialah dakwaan mereka yang mengatakan para sahabat dan tabi'in berkeinginan untuk mengetahui semua perkara daripada kisah umat dan para nabi terdahulu yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan hadith Nabi saw.

Ibnu Khaldun menyebutkan dalam kitabnya, “Muqaddimah Ibnu Khaldun” bahawa penyebaran Israiliyyat ini adalah disebabkan oleh dua perkara;

i)  Keadaan masyarakat Arab pada waktu itu yang buta huruf;

ii) Sifat manusia yang ingin mengetahui semua perkara.

Di samping itu, kisah-kisah ini tidak ada kaitannya dengan hukum-hakam yang seterusnya menyebabkan ia terus ditulis dan diceritakan kepada ramai.


Pembahagian Israiliyyat

Para ulama’ telah membahagikan Israiliyyat kepada tiga iaitu;

i)  Bahagian yang selari dengan syariat dan Al-Quran; seperti kisah Al-Jassasah yang diceritakan oleh Tamim Ad-Dariy dan diperakui oleh Nabi saw (hadith dalam Sahih Muslim, kitab Fitnah, bab Kisah Al-Jassasah). Antara lain ialah kisah Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir, kisah Juraij seorang ‘abid dan sebagainya yang turut diceritakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi saw. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.

ii)  Bahagian yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran; seperti mencemar maruah kenabian dalam kisah Nabi Yusuf a.s. apabila menyebutkan bahawa baginda yang berkeinginan kepada isteri pembesar Al-Aziz, kisah nabi Daud dan sebagainya yang mengaitkan para nabi dengan dosa syirik, zina dan sebagainya. Dalam hadith Nabi saw ada menyebutkan;

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ أَخْبَرَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الْكِتَابِ عَنْ شَيْءٍ وَكِتَابُكُمْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْدَثُ تَقْرَءُونَهُ مَحْضًا لَمْ يُشَبْ وَقَدْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ بَدَّلُوا كِتَابَ اللَّهِ وَغَيَّرُوهُ وَكَتَبُوا بِأَيْدِيهِمْ الْكِتَابَ وَقَالُوا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أَلَا يَنْهَاكُمْ مَا جَاءَكُمْ مِنْ الْعِلْمِ عَنْ مَسْأَلَتِهِمْ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا مِنْهُمْ رَجُلًا يَسْأَلُكُمْ عَنْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَيْكُمْ

"Telah menceritakan kepada kami Musa bin Ismail telah menceritakan kepada kami Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Ibn Syihab dari 'Ubaidullah bin Abdullah bahwa Ibn Abbas r.a. berkata, "Bagaimana kalian bertanya ahli kitab padahal kitab kalian yang diturunkan kepada Rasulullah saw lebih baru kemurniannya dan belum terkotori? Sedang ahlu kitab menceritakan kepada kalian dengan mengubah-ubah kitabullah dan menggantinya, dan mereka tulis al-kitab dengan tangannya dan mereka katakan, 'Ini dari sisi Allah' untuk mereka tukar dengan harga yang sedikit, tidak sebaiknyakah ilmu yang yang kalian miliki mencegah kalian dari bertanya kepada mereka? Tidak, demi Allah, takkan kulihat lagi seseorang di antara mereka bertanya kalian tentang yang diturunkan kepada kalian."   -  Riwayat Imam Bukhari: Hadith ke-6815

Abdullah bin Mas’ud pernah berkata; "Janganlah kamu bertanyakan ahli kitab kerana mereka tidak memberi petunjuk kebenaran bahkan menyesatkan kamu. Maka, kamu akan mendustakan yang benar dan membenarkan yang bathil".

iii)  Bahagian yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan; bahagian ini paling banyak kedapatan pada zaman sekarang namun tiada larangan padanya dan tidak juga mendustakannya. Hadith Nabi saw ada menyebutkan;

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ عُمَرَ أَخْبَرَنَا عَلِيُّ بْنُ الْمُبَارَكِ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ الْآيَةَ

"Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Basyar telah menceritakan kepada kami Usman bin Umar telah mengabarkan kepada kami Ali bin Al Mubarak dari Yahya bin Abu Katsir dari Abu Salamah dari Abu Hurairah berkata, 'Ahli kitab membaca Taurat dengan bahasa Ibrani dan menafsirkannya dengan bahasa Arab untuk pemeluk Islam! Spontan Rasulullah saw bersabda; "Jangan kalian benarkan ahli kitab, dan jangan pula kalian mendustakannya, dan katakan saja '(Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu) '."  -  Riwayat Imam Bukhari - hadith ke-6814

Contoh kisah pada bahagian ini termasuklah nama Ashabul Kahfi dan bilangan mereka, kisah burung dan Nabi Ibrahim a.s., pokok yang dimakan oleh Nabi Adam a.s. dan sebagainya. Para ulama’ mengatakan kebanyakan kisah bahagian ini adalah khurafat dan dongeng dengan dosa menyebarkannya lebih besar daripada manfaat yang ada padanya. Hal ini kerana, satu kitab tafsir contohnya akan bertukar kepada kitab lain yang penuh dengan cerita yang tidak boleh diterima akal dan syara’ kerana ia merupakan khayalan dan rekaan pendeta terdahulu yang disebarkan kerana ingin menjauhkan masyarakat Yahudi daripada kitab Taurat yang asli. Bukan itu sahaja, perbuatan ini juga kadang-kadang bertujuan memberikan khidmat kepada raja dan pembesar pada waktu itu.

Penerimaan Yahudi terhadap Ahmedinejad, syiah Iran - sekufu!


Pendirian Ulama’ Tentang Israiliyyat

Sejak dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para ulama’ dalam membersihkan kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu. Namun, usaha ini amat susah dan memerlukan kepada kesungguhan dan dilakukan dalam tempoh yang berpanjangan. Tanpa disedari, kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Hadith Nabi saw ada menyebutkan;

حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ الضَّحَّاكُ بْنُ مَخْلَدٍ أَخْبَرَنَا الْأَوْزَاعِيُّ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي كَبْشَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

"Telah bercerita kepada kami Abu 'Ashim adl-Dlahhak bin Makhlad telah mengabarkan kepada kami Al Awza'iy telah bercerita kepada kami Hassan bin 'Athiyyah dari Abi Kabsyah dari 'Abdullah bin 'Amru bahwa Nabi saw bersabda: "Sampaikan dariku sekalipun satu ayat dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (dosa). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". Imam Malik menyebutkan; (Maksud hadith ialah dibenarkan meriwayatkan daripada mereka selagi mana ia adalah perkara kebaikan. Adapun pada perkara yang diketahui bahawa ia adalah dusta maka ia dilarang).  -  Riwayat Imam Bukhari - Hadith ke-3202

• Imam As-Syafie : (Sedia maklum bahawa baginda saw melarang bicara dusta, jadi maksud hadith ialah - ceritakanlah daripada Bani Israel pada perkara yang kamu tidak ketahui bahawa ia adalah dusta. Adapun perkara yang dibenarkan maka tidak menjadi suatu dosa kepada kamu untuk meriwayatkannya. Inilah petanda kepada hadith baginda;

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْمَرْوَزِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَخْبَرَنِي ابْنُ أَبِي نَمْلَةَ الْأَنْصَارِيُّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ الْيَهُودِ مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَلْ تَتَكَلَّمُ هَذِهِ الْجَنَازَةُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُ أَعْلَمُ فَقَالَ الْيَهُودِيُّ إِنَّهَا تَتَكَلَّمُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا حَدَّثَكُمْ أَهْلُ الْكِتَابِ فَلَا تُصَدِّقُوهُمْ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ فَإِنْ كَانَ بَاطِلًا لَمْ تُصَدِّقُوهُ وَإِنْ كَانَ حَقًّا لَمْ تُكَذِّبُوهُ

"Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Muhammad bin Tsabit Al Marwazi telah menceritakan kepada kami Abdurrazzaq telah mengabarkan kepada kami Ma'mar dari Az Zuhri telah mengabarkan kepadaku Ibnu Abu Namlah Al Anshari dari Ayahnya bahwa ketika ia sedang duduk di sisi Rasulullah saw yang saat itu di sisi beliau ada seorang Yahudi, lewatnya jenazah di hadapan beliau. Lalu orang Yahudi itu berkata, "Wahai Muhammad, apakah jenazah ini berbicara?" Nabi saw kemudian menjawab: "Allah lebih mengetahui." Orang Yahudi itu pun berkata, "Sesungguhnya jenazah tersebut berbicara." Rasulullah saw bersabda: "Apa yang diceritakan oleh orang-orang ahli kitab kepada kalian maka janganlah kalian percayai atau kalian dustakan. Tetapi katakanlah, 'aku beriman kepada Allah dan para Rasul-Nya'. Jika mereka dusta maka kalian tidak mempercayainya dan jika benar maka kalian tidak mendustakannya."  -  Riwayat Imam Abu Daud - Hadith ke- 3159

; yang tidak menyebutkan keizinan dan larangan ketika meriwayatkan pada perkara yang dipastikan kebenarannya.

• Imam Ibnu Hajar : (ولا حرج iaitu janganlah menyempitkan dada kamu dengan apa yang kamu dengar daripada perkara yang mengagumkan dan itu yang banyak berlaku kepada mereka. Apa yang dimaksudkan dengan jangan bersusah-payah ialah pada pihak yang menceritakan kisah Israiliyyat disebabkan di dalamnya terdapat perkataan yang tidak baik seperti dalam surah Al-Maidah ayat 24;

"Mereka (Menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, Sesungguhnya Kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya Kami di sinilah duduk menunggu".

dan surah Al-A’raf ayat 138;

"Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala. (melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

Pendapat Ibnu Hajar ini merupakan pemahaman yang baik dalam memahami maksud hadith kerana ada beberapa perkataan dan ungkapan dalam kisah Israiliyyat yang boleh membawa kepada kekufuran. Namun ia hanya diceritakan sebagai suatu peringatan dan manfaat bersama.

Adapun hadith ke-3159 riwayat Imam Abu Daud di atas, ditujukan kepada mereka bukannya kita kerana Nabi tidak menyuruh di dalamnya supaya meriwayatkan sesuatu daripada ahli kitab bahkan seolah-olah ia mengajar kepada umat Islam supaya beradab ketika berbicara dengan mereka selari dengan firman Allah swt dalam Surah Al-'Ankabut ayat 46;

"Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh dengan berserah diri."

• Imam Ibnu Taimiyah menyebutkan dalam kitab “Ma’arij Al-Usul” : (Al-Quran adalah sendiri pada zatnya, dan orang yang membaca Al-Quran tidak berhajat kepada kitab-kitab terdahulu yang menjelaskannya. Berbeza dengan orang Nasrani contohnya, mereka memerlukan kepada kitab Taurat untuk memahami hukum-hakam dalam agama mereka).

Kemudian beliau berkata lagi; (tetapi hadith-hadith yang menceritakan tentang Israiliyyat ini disebutkan untuk sokongan bukannya sebagai suatu pegangan).

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pendapat para imam yang disebutkan, kita membuat ulasan seperti berikut;

i)  boleh meriwayatkan kisah Israiliyyat yang selari dengan syariat hanya sebagai sampingan bukan pegangan.
ii) boleh meriwayatkan kisah pada bahagian ketiga – yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah – hanya sebagai i’tibar seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah.
iii) Tidak boleh meriwayatkannya pada perkara yang bertentangan dengan ajaran agama – bahagian yang kedua – melainkan perlu ingkar dan menjelaskan kesalahannya.

Wanita Kristian Ortodoks selepas pembaptisan anaknya

Rujukan

* Al-Quran Al-Karim.
* Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
* Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
* Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Fi Kutub At-Tafsir, karangan Dr. Muhammad bin Abu Syahbah.
* Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Wa Bida’ At-Tafasir Qadiman Wa Hadithan, karangan Hamid Ahmad At-Tahir Al-Basyuni.


Sumber: http://pmram-manhal.blogspot.com/2010/12/riwayat-israiliyyat-menurut-perspektif.html

Nota:  Hasil usaha Anak_Pejuang
Elias Hj Idris
Tasauf Islam terbahagi kepada dua; i) Tasauf yang berhubung dengan pendidikan dan melatih rohani, menambah tinggi akhlak dan melatih diri dalam memakai sifat-sifat keutamaan dengan istilah ilmu mu'amalah; ii) Bahagian rohaniah, ibadat dan cinta kepada Allah swt. Ia termasuk acara-cara ibadat dalam muhabbah (cinta), antaranya nur (cahaya), isyraq (beroleh sorotan cahaya dari Allah), pelbagai ilham dan limpahan-limpahan Ilahi.
Syeikh Nazim: Pernah ikuti majlis zikir murid2nya di Damasara.
Mengasyikkan di mana ia diakhiri
dengan lagu2 kecintaan yang diiringi paluan gendang.

i)  Pendidikan dan Melatih Rohani

Ia merupakan bahan-bahan utama bagi pencinta akhlak, juga sebagai pokok utama dalam ilmu jiwa. Tidak keterlaluan jika diibaratkan ilmu tasauf adalah guru besar dari sekelian ilmu jiwa yang ada dalam dunia ini. Orang-orang sufi itulah yang terus-menerus pakar dalam usaha mendalami segala hal berkaitan dengan ilmu jiwa.

Ahli sufi mencari segala lapangannya, mengharungi segala mata airnya, mereka renangi sekelian lautannya dan mereka ukur pula akan kedalamannya. Mereka menyerahkan diri seluruhnya untuk tujuan itu, dengan nilai yang tiada tolok bandingnya dengan apa jua pekerjaan lain? Mereka selidiki kemudian ikuti segala kemahuan ilmu tasauf, dengan memerhatikan segala serangan dan kemahuannya.

Biasanya, setiap mereka yang telah menjadi ahli sufi akan tenggelam seluruhnya dalam lautan itu hingga ke akhir hayatnya, dan akhirnya sampailah mereka kepada kasyaf jiwa semesta - apabila mereka telah mendapat hubungan langsung yang erat dengan Allah swt yang menjadikan semesta alam ini dengan segala kebaikan, kerapian dan kesempurnaan.

Dalam tasauf, ilmu jiwa itu diberikan penambahan yang menguatkannya tingkat demi tingkat. Ia diambil daripada al-Quran dan hadis, kemudian dilatih beribadat setiap waktu dan bertambahlah nilainya, banyak jamnya kemudian semakin membulatkan hati akan ibadahnya itu sehingga mencapai ke-4 dasar tasauf yang telah disebutkan; beroleh cahaya dari Allah; beroleh isyraq (sorotan atau pancaran) dari Allah; beroleh ilham dari Allah; dan beroleh limpahan-limpahan Ilahi.

Ilmu tasauf sama sekali tidak membenarkan dan tidak mengenal erti bertengkar, bermusuhan, berlumba-lumba mencari gelaran, pangkat besar dsb. Malah jiwa orang sufi tidak mengenal dengki, tidak kenal erti marah, tiada permusuhan, dan tidak mengenal buruk akhlak.

ii)  Empat Tingkat Perkembangan Tasauf

Ia bahagian ibadat, bahagian limpahan dan bahagian mahabbah. Ia adalah syarat utama buat seseorang masuk dan mula merasainya. Ada 2 syarat - mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap al-Quran dan sunah Nabi saw. Kedua-duanya itulah yang dinamakan tariqat atau jalan tasauf yang mesti ditempuh oeh setiap pencinta dan penggemarnya.

Kedua-dua pengetahuan yang tinggi ini mesti ditempuhi dengan 4 marhalah - perjalanan (jarak yang jauh!).

a)  Marhalah amal zahir

Ia bermaksud bahawa seseorang itu perlu melakukan segala amalan fardhu dan harus ada sebahagian solat sunat dan lain-lain ibadat zikir yang perlu dilakukan tetap pada waktunya. Ia disebabkan Nabi sendiri melakukannya secara tetap - sebagai contoh ikutan. Contoh, Nabi tetap melakukan solat witir 11 rakaat setiap malam, kemudian membawa bersama isteri baginda - selalunya pada rakaat penutupnya.

Andainya baginda berhalangan, esok paginya baginda gantikan dengan sempurna - kerana apabila siang, sudah tiada witirnya lagi. Demikian dengan solat sunat yang lain, solat dhuha 8 rakaat yang sempurna ruku' dan sujudnya. Malah ketika di medan perang atau ketika dalam perjalanan baginda tetap memelihara solat dhuha itu walaupun ketika sambil berjalan (ia diharuskan).

Kemudian ketika memasuki tanah haram Mekah pada 17 Ramadhan tahun 8Hijriah, baginda berusaha memastikan tiada pertumpahan darah yang berlaku di tanah haram yang mulia itu melalui muslihat perang dan usaha diplomatik. Biarpun terjadi juga pertempuran, tetapi ia bukan secara langsung di bawah pimpinan baginda. Pagi-pagi lagi baginda masuk sambil menunggang unta dengan tunduk - bukan cara bermegah sebagai orang yang menang perang.

Apabila masuk, baginda tidak terus masuk ke Mesjidil-haram apabila di sana orang-orang Quraisy ramai berlindung - sebagai jaminan keselamatan. Baginda terus ke rumah Ummu Haani, puteri Abu Talib - iaitu satu-satunya sahaja rumah kaum kerabat baginda yang masih tinggal. Baginda masuk ke situ terus melakukan solat sunat dhuha dengan ruku' dan sujud yang sempurna - sekadar bacaannya disederhanakan.

Malah baginda masuk ke Mekah dengan menunggang unta sambil menundukkan kepala, tanda syukur yang tidak terkira - bukan dengan bermegah apabila mencapai kemenangan. Ia sebagai tanda yang kemenangan itu tidak dicemari 'kekotoran' biar ia kekal berpanjangan - hingga ke hari ini. Jika Nabi saw menetapi solat sunat dan mengqadhanya apabila keuzuran, maka bagi setiap pencinta dan murid tasauf harus mencontohinya.

Jika seseorang itu hanya melakukan solat fardhu sahaja pada setiap waktu, tanpa solat sunat yang sepatutnya, kemudian terus berzikir dengan jumlah-jumlah tertentu maka ia belum dikira sebagai telah menempuh satu marhalah, iaitu tingkat perkembangan pertama daripada tariqat sufi ini kemudian melompat ke tingkat perkembangan yang lain.

Selain daripada ibadat yang wajib dan sunat secara menetapinya, ada lagi syarat lain, iaitu dengan memalingkan diri dari segala perhiasan dunia, daripada tipu-daya dunia, kemudian melakukan zuhud terhadap syahwat dunia. Setelah melakukan tugas negatif ini seseorang itu harus melakukan perkara positif buat penyempurnaan diri dengan cara bersendiri, berkhalwat serta jangan asyik berteman dan berkawan.

Dalam keadaan menyendiri itu, seseorang itu harus menetapi zikir dan memuji-muji Allah dengan kalimah Laa ilaa ha illallah sebanyak mungkin. Malah pada setiap masa jumlahnya terus dinaikkan jadi semakin banyak. Juga hendaklah membaca tasbih dan tahmid (Subhanallah wal hamdulillah walaa ilaaha illallahu wallahu akbar) dan selawat ke atas Nabi saw, ahli keluarga dan sahabat baginda sekelian.

Subhanallah wa bihamdihi, subhanallah-il 'aziim:
elok diamalkan selepas Jumaat 70x

Ini baru dinamakan marhalah yang pertama.

Bersambung...
Elias Hj Idris
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a:
“Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpin yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”   -  riwayat al-Bukhari

Siapakah di antara kita yang masih yakin sungguh-sungguh
apabila menyandarkan segala ketentuan itu kepada Allah swt?

Huraian:

Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu. Ulama adalah orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mereka merupakan orang yang mendalami ilmu. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai tingkat penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu. Mereka hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja.

Berbeza dengan keadaan di zaman lampau, apabila orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai dengan 'ahli' (mendalam!) banyak cabang ilmu. Dengan lain perkataan golongan ulama’ semakin lama semakin kurang apabila masa terus beredar. Justeru, dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka. Sesungguhnya kehidupan kita tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan daripada para ulama’.

Namun pada hakikat dan kenyataannya bahawa pada hari ini ada ramai orang yang tidak menyedari situasi tersebut hingga mereka mengatur kehidupan dunia mengikut cara mereka sendiri. Mereka seakan lupa dan berasakan sebagai tidak perlu untuk melibatkan golongan ulama dalam meminta pandangan mahupun nasihat. Ulama dipinggirkan bahkan golongan itu dianggap sebagai kelompok yang ketinggalan zaman, tidak mengetahui perkembangan dan hanya tahu berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata-mata.

Akibatnya maka timbul sikap menolak dan meremehkan golongan ulama dan keterlibatan mereka di dalam urusan keduniaan.

++ Gambar hiasan ++
... lalu manusia akan berusaha keras semata-mata
kerana mahukan pengiktirafan manusia!

Justeru tidak hairanlah akan ada manusia yang menjadikan golongan jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kemusnahan dan mengundang kecelakaan; seperti dalam banyak keadaan sekarang.

Nota: Dari hasil usaha bintangtimur (TKO)
Elias Hj Idris
Kenapa masyarakat Melayu tidak begitu mengambil berat
dalam soal aurat apabila menghiaskan pengantin?

Mahu atau tidak sudah dua hari Nur Anita dipersiapkan. Kemudian pada Sabtu dia disolekkan dengan begitu rupawan. Kening, mata, pipi, hidung serta bibir yang selama ini memang telah cantik itu dibuat tambah berseri-seri lagi. Ada tukang solek khas yang ditugaskan. Mak andam pula lain kerjanya.


Benaknya sering berlegar. Bersimpang-siur ingatan dan impian dan Nur Anita asyik teringatkan kehidupan apabila bersama dengan Kamarul Izzat nanti. Ia datang silih berganti dengan kenangan dan lamunan terhadap Roy yang telah dia kenali sejak di sekolah lagi. Kemudian datang pula Jeff dengn wajah sedih menagih kesetiaannya. Hanya beberapa jam sahaja lagi Nur Anita pasti akan menjadi milik orang. Kamarul Izzat bukan pilihannya, tetapi dia sedang berusaha keras untuk menerimanya jua.

Kemudian, Nur Anita mula teringatkan kepada fitrah serta sifat semulajadi wanita sepertinya. Corak fikiran, memang mudah berubah dan akan dapat menerima sesuatu keadaan dengan seada-adanya. Itu sebab dalam banyak keadaan, wanita masih dapat berkorban - harta, cinta dan kasih sayang juga. Mereka sedia menerima sebarang jodoh walaupun buruk apabila ia ditetapkan oleh orang tua mereka sendiri. Mereka boleh hidup kekal beranak cucu, bahagia dan gembira juga sampai ke mati.

Jadi, siapa kata wanita boleh dipertaruhkan cinta mereka?

“Bertuah kau dapat kahwin dengan dia,” bisik Kak Bedah ketika menghantarkan kain tudung yang diperbaikinya pada petang itu.

“Bila dah jadi isteri tu... jadi la isteri yang baik,” pesan pula Maheran, ibu tunggal yang masih bercinta dengan Pak Talib jaga.

Seperti biasa, Leita adiknya itu tetap dengan muncungnya. Ada sahaja yang tidak kena dengannya sejak lama. Ada-ada sahaja yang tidak kena pada hatinya selagi ia berkait dengan diri kakaknya yang seorang itu. Memang mereka sering tidak sekata dalam banyak perkara. Di hari bahagian Nur Anita itupun dia masih boleh memasamkan mukanya - bermuncung bagaikan tikus mondok menghidu belacan. Di sana dia bermuncung. Ke mana-mana pun dia tetap dengan wajah yang mencuka. Pantang silap tanya, bengkengnya akan memecah dan termuntah.

Kata orang tua-tua, itulah tanda wanita yang sakit meroyan. Nur Anita tidak pasti, tetapi apabila melihat pada keadaannya itu memang teruk. Orang sakit meroyan boleh jadi gila, kata makcik Siah yang selalu datang mencuci pakaian dan mengemas rumah. Bagaimanalah agaknya, apabila si Midon beristerikan orang sakit meroyan? Peliknya, Leita masih belum pun bernikah lagi.

“Kalau la Nita yang jadi kau...,” Sarah membisik. Dia tidak meneruskan maksudnya.

Nur Anita menjeling sambil memastikan tiada air mata yang bergenang. “Kenapa?”

Sarah sekadar tersenyum. Penuh makna.

Ibu menangis pagi itu. Mungkin ibu dapat merasakan apa yang bersarang di lubuk hati anaknya itu. Dia menangis kerana melihat Nur Anita gembira. Dia merestui kegembiraan anaknya itu, sedangkan dia tidak pasti isi di dalam. Sementelah Nur Anita pun tidaklah begitu rapat dengannya. Bukan mereka tidak rapat dari segi hubungan, atau Nur Anita tidak sayangkannya, tetapi dia yang banyak berahsia. Jadi, setiap yang boleh menggembirakan Nur Anita mereka tetap akan merestuinya.

Dengar-dengar mereka juga telah punya pilihan sendiri, namun ibu dan ayah masih bersedia untuk menerima Kamarul Izzat, anak muda dari Ipoh itu. Mereka tetap menyangkakan bahawa Kamarul Izzat adalah pilihan muktamad anak mereka yang satu itu. Dalam masa yang sama mereka pun mungkin terkeliru. Mereka pun kenal juga dengan Roy. Mereka sedar akan kehadiran Jeff dalam hidup gadis itu juga. Nur Anita benar-benar berada dalam dilema. Setiap kali ibu bertanya mengenai mereka selepas pertunangannya tempohari, Nur Anita hanya mendiamkan diri.

“Siapa lagi yang dijemput lagi hari ni?” bisik Nurul Asyira pada Rosmaniza yang sedang menampal-nampalkan ‘foundation’ pada mukanya sendiri. Sementara itu Nurul Asyira pula sedang mengenakan gincu pada bibir yang nipis dan mengemamnya untuk tujuan meratakan.

“Kawan kita semua tentu terperanjat malam ni,” kata Nurul Asyira sambil mencapai sikat untuk membetulkan rambutnya yang juga baru disetkan pada petang sebelumnya.

“Kenapa pula?” tanya Sarah sambil menjeling Rosmaniza melalui cermin muka yang besar di penjuru bilik.

Nur Anita tidak bersuara. Dia masih asyik dengan keletah jurusolek yang sedang mengenakan gincu.

“You all tengok la sendiri nanti,” Nurul Asyira keberatan memberitahu.

“Apa kau dah ada boyfriend ke?” tanya Sarah beralih dan menghadap sambil memegang tangannya. “Betul ke Nurul?”

Nur Anita memegang tangan jurusolek sehingga make artist itu terhenti daripada membetulkan garis gincu di bibir dengan kertas tisu. Dia turut beralih memandang kepada Nurul Asyira.

“Ada orang baru ye, Nurul?” Nur Anita bertanya Nurul Asyira sambil berdiri.

“Tak ada la,” jawab Nurul Asyira pendek. Dia buat endah tak endah.
Elias Hj Idris
9

HARI yang ditunggu-tunggu pun tiba. Inilah hari perkahwinan yang istimewa buat dirinya. Semua saudara-mara yang tinggal di Bandar dekat pekan Banting sudah datang sejak dua tiga hari lalu kerana membuat persiapan. Ada yang berulang-alik kerana rumah tidak boleh ditinggalkan lama walaupun letaknya berhampiran dengan Mesjid Sultan Alae'iddin Syah. Mereka dengan kepakaran masing-masing menghias rumah dan bilik pengantin juga. Sementara Maheran terus menemani Nur Anita dan menjadi penasihat juga.

Persiapan untuk raja sehari

Di hadapan, di kiri, kanan dan belakang telah terdiri khemah yang disewa. Ramai orang kenamaan yang telah dijemput oleh ayah. Jadi, Nur Anita nampak bagaimana persiapan begitu beria-ia dibuat. Abang-abang, ayah saudara, ibu saudara, kawan-kawan pun sibuk dengan urusan dan persiapan yang sepatutnya. Di bahagian dalam rumah, tentulah pelamin yang lebih diutamakan. Maklumlah raja sehari akan bertakhta di sana.

Malam sebelumnya, Nur Anita telah menjalani upacara berinai. Rosmaniza, Nurul Asyira dan Sharmaine tidak ketinggalan menemaninya di sepanjang upacara tersebut. Malah mereka pun tidur bersama Nur Anita dalam bilik pengantin yang lengkap dengan segala peralatan dan perhiasannya itu.

Paginya dengan berpakaian yang indah Nur Anita menjalani upacara khatam al-Quran. Sebenarnya, dia pun masih belum tamat mengaji, tetapi disebabkan ia sudah menjadi adat maka Nur Anita hanya menurut sahaja. Manakan bisa dia tamat membaca dan mengaji al-Quran kerana sejak kecil Nur Anita hanya bersekolah di sebuah sekolah mubaligh Kristian di Ipoh. Keluarganya serta ibu saudara tempat Nur Anita menumpang pun pada masa itu tidaklah seperti orang lain. Mereka pun sama seperti kebanyakan orang - yang tidak begitu mengambil berat tentang soal-soal tersebut.

Selepas tamat khatam al-Quran, kumpulan nasyid terus dengan lagu-lagu padang pasir dan marhaban sementara menanti kedatangan para tetamu. Sambil itu Nur Anita bersiap sedia dalam bilik diandam oleh seorang wanita yang telah lama menjadi kenalan keluarga. Malah ramai saudara-mara dan kakaknya yang berkahwin pun diandam olehnya juga.

Nur Anita berasa lucu juga apabila menjalani upacara ‘melihat dara’, suatu upacara yang telah sekian lama ditinggalkan. Bukan apa, ramai di antara bakal pengantin, terutama yang perempuannya enggan menjalani proses berkenaan. Ia mungkin dapat dimaklumi apabila ramai pasangan sekarang yang telah dan rela mencuba-cuba sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Malah ada rmai yang melalui tempoh percubaan sebagai suami-isteri dengan tinggal bersama - bersekedudukan.

"Kau tak takut ke dengan upacara tu, Nita?" Sharmaine nampak cemas. "Dibuatnya kau fail, amacam?"

"Kenapa pula? Apa yang nak ditakutkan?" sahut Nur Anita sambil memerhatikan gelagat mak andam yang nampak bersahaja membuat persiapan.

Ada sintuk juga yang direndamkan ke dalam mangkuk putih itu bersama limau purut yang telah dibelah. Sementara itu disediakan sepiak sirih untuk dikunyah oleh Nur Anita. Ada jampinya pada sirih berkenaan sebelum dipinta bakal pengantin itu mengunyahnya.

"Untuk penaik seri pun ya juga," jelas mak andam dengan muka yang manis.

Kemudian dia mengambil sintuk yang sedang direndam itu sambil disapukan ke keliling muka Nur Anita, mengenai anak-anak rambut yang lebat dan halus itu.

"Err... kau yakin sangat ke, Nita?" Rosmaniza pula mencelah.

Nur Asyira hanya mengikuti perbualan mereka tanpa mengerti. Dia tidak pasti akan pokok bualan mereka. Begitulah gelagat mereka sambil Maheran memerhatikan ibu saudaranya itu dari meja solek. Ia adalah satu upacara asing buat orang-orang zaman sekarang. Dipotongnya limau nipis ke dalam mangkuk itu kemudian bulu anak rambutnya dicukur perlahan dan kemudian dilurutkan jatuh ke air dalam mangkuk putih itu. Anak-anak rambut itu kekal berkumpul sesama sendiri, setompok di atas air itu. Mak Andam tersenyum apabila mendapati yang itu adalah tanda bahawa bakal pengantin itu masih dara lagi.

"Kalau yang takde daranya pula macam mana, mak andam?" Rosmaniza bertanya semacam orang bingung apabila melihat tompokan rambut di atas permukaan air itu.

Mak andam tersengih. "Rambut tu akan berselerak... dan ada yang tenggelam."

"Ooo... kalau gitu bila I kahwin nanti nak buat juga la upacara tengok dara," Sharmaine beria-ia, kemudian dia termenung. "Orang kata dara dah abis jika kuat bersukan."

"Yeah... mungkin, tapi kalau kerana bersukan kadang-kadang ia masih boleh menampakkan tanda masih dara," jelas mak andam perlahan. "Ia berkait dengan perubahan hormon apabila seseorang itu merasai nikmat persetubuhan."

"Kalau tak pernah, takde masalah ya!" Nur Asyira mencelah.

"Mudah-mudahan, gitu la," sahut mak andam sambil tersengih.

Namun Nur Anita masih hairan bagaimana dengan upacara itu mak andam boleh tahu akan sesuatu yang menjadi rahsia gadis sepertinya. Alangkah malu kalau sekiranya didapati seseorang gadis itu telah kehilangan sesuatu yang amat berharga hasil daripada pergaulan bebas seperti zaman sekarang. Atau seperti gadis-gadis lain yang mungkin telah ditebuk oleh sekian 'ramai' tupai yang nakal-nakal. 
 
Jadi dia terlalu amat bersyukur kerana telah berjaya menahan godaan nafsu walaupun telah beberapa kali Kamarul Izzat merengek dan mendesak untuk menikmatinya secara salah. Dia takut sebenarnya akan ancaman Allah swt jika berzina. Dia takutkan nilai hukuman 100 kali dera tanpa belas kasihan itu. Mungkin di atas dunia ini dia dapat mengelak dari dikenakan hukuman berkenaan, tetapi bagaimana setelah dia mati nanti? Sedangkan hukuman di akhirat jauh lebih berat lagi... beribu-ribu kali ganda.

Sejak pagi hingga ke tengah hari hatinya asyik berdebar-debar. Samalah keadaannya ketika bertunang dahulu. Kadang-kadang Nur Anita berasa cemas, tetapi dia tidak tahu apa yang nak dicemaskan? Nur Anita sentiasa resah berada dalam bilik dan badannya asyik sahaja berpeluh. Sepatutnya dia gembira, tetapi entah kenapa ia berlaku sebaliknya?

Walaupun sejak bertunang hampir setiap hari Kamarul Izzat menelefon atau datang menjemputnya di pejabat, namun perasaannya terhadap lelaki itu masih jauh terasing. Hati dan perasaannya masih belum pasti. Kasih dan sayang seperti tidak dapat ditumpahkan sepenuhnya. Hatinya di dalam masih berkata-kata seperti orang yang harap-harap, percayanya tidak!

Dan dalam saat yang mencemaskan itu Nur Anita asyik teringatkan Roy dan Jeff. Dalam keadaan berkejar-kejar itu, rupa-rupanya saat Nur Anita disatukan dengan lelaki bukan idamannya itu telah pun menjelang tiba. Nur Anita akan menjadi milik orang lain. Itulah hari yang bakal menentukan segala-galanya. Mahu atau tidak dia pasti tidak akan dapat mengelak lagi. Jadi Nur Anita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menaruh sepenuh kepercayaan dan kasih sayang terhadap Kamarul Izzat sebagai pengikat segala-galanya dan menjadi pelindungnya buat hari muka.
Elias Hj Idris
Inikah Kak Wateenya?

ABANG Fuad, adik kepada Abang Leman mendapat anaknya yang kelima. Lama sebelum itu dia telah berjanji sekiranya mendapat anak perempuan juga, dia akan menyerahkan anak itu kepada Nur Anita. Ia akan dipelihara sebagai anak angkat. Memang benar, abang yang tidak banyak kerenah itu mendapat anak perempuan lagi. Nur Anita menamakannya Intan Noor Jasmin. Dia membawa pulang anak itu ke rumah untuk menjadi anak angkat. Jadi buat sementara waktu ibunyalah yang akan memelihara anak itu.

Pada petangnya Nur Anita pergi ke kompleks Perada Subang untuk membeli segala keperluan untuk anak itu. Nur Anita mula dan perlu belajar untuk menjadi seorang ibu - ketika di usia yang masih muda. Bukan seperti sesetengah orang yang terlanjur, ramai juga di kalangan artis yang anak sendiri, tetapi mengaku anak angkat. Sebabnya, seperti ramai yang tidak ketahui - ia adalah anak mereka sendiri hasil daripada hubungan gelap yang akhirnya tidak dapat disembunyikan. Namun buat Nur Anita, dia pasrah lantaran anak itu adalah dari darah dagingnya jua - anak abang kandung sendiri.

Cuma dia seakan tidak betah untuk melibatkan Kamarul Izzat dalam hal tersebut. Nur Anita tidak kisah pun akan penerimaan oleh tunangnya itu nanti. Kalau ditakdirkan Kamarul Izzat tidak bersetuju pun tidak boleh juga. Intan Noor Jasmin adalah anak Abang Fuad, abangnya sendiri. Darahnya masih ada mengalir dalam tubuh anak kecil itu.

Sambil memilih barang-barang keperluan bayi di butik bayi terkenal itu, dia menelefon Kamarul Izzat. Sayang, tiada jawapan - telefonnya dimatikan. Hanya pesanan peti suara sahaja yang kedengaran; berulang-ulang. Dia pun pelik, ke manalah tunangnya itu menghilang - dan feel yang paling tidak digemarinya... ialah mematikan telefon. Bukan apa, dia sekadar ingin menyampaikan pesan. Ada keluarga dari sebelah tunangnya itu yang menelefon - mencarinya kerana ada suatu hal di kampungnya - Kampung Tanjung.

Dalam keadaan seperti itu dia cuba untuk tidak menanam sebarang rasa syak-wasangka atau apa-apa prasangka buruk terhadap Kamarul Izzat. Tempoh bertunang adalah masa untuk mengenali hati-budi masing-masing; mencari kesesuaian dan menerapkan kebolehan menerima segala kekurangan dan memberi terhadap segala kelebihan yang ada. Itupun konsep pertunangan yang dipraktikkan dalam budaya Melayu serta direstui oleh agama jua. Jika puas dicuba, namun jika tiada jua menemui kesesuaian maka jalan keluar masih ada buat masing-masing menuju haluan sendiri.

Ia perpisahan sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dan adakah Kamarul Izzat sedang menempah laluan berkenaan? Hatinya di dalam pernah membisikkan. Ia ekoran daripada kejadian Kamarul Izzat pulang dari Kuala Terengganu dengan seseorang, bukan dengan 'flight' seperti yang dijangkakan ketika bercuti. Dan ia masih belum dijelaskan oleh tunangnya itu. Ia membuatkan dia masih tertanya-tanya; dengan siapa? Kenapa? dan banyak lagi tanda tanya.

Kadang-kadang terlintas juga di benaknya; adakah ia berpunca daripada sikapnya jua - yang bersikap liar terhadap segala kehendak Kamarul Izzat? Sudah puas tunangannya mengecek sejak di Selesa Homes membawa kepada pemergian mereka ke Singapura dan dalam pertemuan-pertemuan kemudiannya pada hari-hari hujung minggu. Soalnya, perlukah dia mengorbankan segala yang amat berharga itu? Lantaran ia adalah harga diri - maruah diri yang tidak ternilai harganya.

Dan paling utama dia tidak ingin mengalami seperti apa yang telah dilalui oleh teman-teman baiknya yang lain; habis madu sepah pun dibuang! Tinggallah diri menangis seorang - dengan sesal yang sudah tidak berguna lagi.

Itu jika belum lagi berkahwin. Bagaimana jika sesudah bernikah dan timbul masalah yang mungkin boleh melibatkan talak?

Setahunya talak cuma dibolehkan dua kali; yang bermakna seseorang suami boleh mentalakkan atau menceraikan isterinya sekali atau dua kali dan boleh dirujuk kembali tanpa melalui satu perkahwinan yang baru. Ia cukup sekadar melafazkan 'aku rujuk (kembali) kepada engkau!' Rujuk itupun hanya dapat dilakukan sekiranya si isteri masih lagi dalam 'iddah. Jika tidak, ia mesti melalui satu pernikahan yang baru.

Jika talak itu telah mencapai tiga kali maka si suami tidak boleh rujuk atau bernikah lagi dengan bekas isterinya itu. Mereka hanya boleh bernikah selepas isteri itu bernikah lain dan bercerai kemudiannya. Itupun perceraian itu bukan semata-mata kerana ingin membolehkan perkahwinan baru di antara mereka. Perceraian itu hendaklah atas sebab-sebab biasa - tiada persefahaman, umpamanya.

Inilah apa yang paling ditakutinya dalam menempuh gerbang perkahwinan; cerai sampai talak tiga kemudian menghadapi kesukaran untuk bersama semula - jika tidak si isteri melalui satu perkahwinan lain. Moral ceritanya, usah diambil mudak dalam soal talak di mana si suami jangan terlalu mengikutkan perasaan sehingga begitu mudah perkawataan 'talak' itu bermain di bibirnya.

Ketika masih memilih barang-barang yang diperlukan, tiba-tiba telefonnya berdering.

"Hello... kat mana you?" kedengaran sayup suara itu menyapa.

"Ermm... kat Subang ni. Apa hal?" dia membetulkan kelek barang-barang yang telah dipilih sambil berjalan menuju kaunter.

"Sorang?" suara itu seakan-akan cemas.

"Yeah... nape Kak Watee? Cakap la," dia mula tertanya-tanya.

"I kat KL ni you tau!"

"Err... makan angin dengan famili ke?"

"Tak! I dengan anak-anak... I lari!"

"Aiks... kenapa pulak? Husband kak mana?" Nur Anita mengerutkan keningnya sambil mengingatkan kakak angkat yang telah dikenalinya sejak lama. Kini kakak angkatnya itu yang terlebih awal berkahwin kini menghadapi masalah rumahtangga. Soalnya, apa masalah mereka dan kenapa dia harus lari? Sedangkan setahunya mereka itu merupakan usahawan yang berjaya - punya lesen kontraktor kelas 'A' dan punya wang berjuta-juta.

Kakak angkatnya itu juga mempunyai sebuah butik di Bandar Kuala Terengganu walaupun asal mereka suami-isteri dari Johor. Dan ceritanya agak panjang berliku sehingga membawa pasangan itu ke bandar pantai timur itu. Dia sendiri pun belum pernah sampai ke sana lagi walaupun telah banyak kali Jahlelawatee mempelawanya ke sana.

"Never mind... nanti I cerita bila kita jumpa. Dah dua hari I kat sini tumpang di rumah kawan sementara cari rumah," gugup sekali Watee menjelaskan.

"Okey... okey, kakak mesti telefon. Kalau tak pun kita sama-sama nanti pi cari rumah sewa untuk kakak," Nur Anita memberikan kesanggupan. "Lama tak jumpa...."

"Okey... nanti kakak call, tapi kena cari rumah tu dulu," Jahlelawatee memberikan kesanggupan.

Dan sepanjang perjalanannya ke Klang fikirannya bersimpang-siur. Ia pasti melibatkan masalah rumahtangga yang serius, fikirnya memandangkan kakak angkatnya itu punya kedudukan dan wang yang banyak. Malah sebagai kontraktor besar mereka tentu dikenali serta punya kedudukan dalam masyarakat. Namun itupun masih belum cukup untuk membahagiakan sampai kakak angkatnya itu mengambil keputusan lari dari rumah. Sedangkan dia baru sahaja ingin menempuh dan cuba belajar tentang alam rumahtangga yang begitu asing buat dirinya. Dan mungkin asing buat bakal suaminya juga.

Nur Anita menggeleng sambil bibirnya berdecit... lalu dia mengetap bibirnya.
Elias Hj Idris
Tajuk ini sengaja teman bangkitkan memandangkan terlalu banyak silap faham di kalangan masyarakat tentang penggunaannya dalam kehidupan seharian. Pada orang-orang yang mempercayainya satu hal. Sebaliknya, banyak pihak yang terus menyanggah penggunaannya tanpa usul periksa; di mana ada yang terlebih pandai dalam hal menghukum.

Adalah molek jika terlebih dahulu kita bicarakan tentang masalah memakainya - azimat dan tangkal yang banyak terdapat di kalangan masyarakat kita.

Sebahagian alim-ulama menyatakan bahawa memakai azimat itu adalah syirik. Sebahagian yang lain pula mengatakannya boleh - tiada masalah apa-apa; tidak sampai mensyirikkan asal sahaja niat penggunaannya itu dijaga dengan baik.

Jika memakai azimat dan tangkal itu dengan meyakini dan mengi'tiqadkan bahawa azimat itu adalah punca yang menjadikan 'sesuatu' - dengan tidak mempergantungkannya kepada qudrat-iradat Allah swt, maka ia adalah jelas syirik. Sebaliknya, jika seseorang itu menggunakan azimat daripada ayat-ayat al-Quran dan meyakini bahawa tiap sesuatu yang selain daripada Allah swt 'tidakkan memberi bekas'  maka ia diperbolehkan.

Contohnya, ubat atau pil yang dimakan oleh seseorang yang sakit adalah dengan maksud dan niatnya 'setiap yang sakit mesti berubat' supaya sembuh; ataupun suntikan yang diambil bagi anti penyakit seperti taun, cacar atau selesema burung dengan tujuan untuk menjauhkan penyakit tersebut. Sedangkan yang membaikkan, yang menyembuhkan dan menjauhkan daripada terkena penyakit tersebut adalah Allah swt (bukan ubat-ubat dan suntikan berkenaan).

Penggunaan kenderaan pun jika tidak dijaga niatnya juga boleh menjadikan syirik. "Kalau tak sebab kereta ni aku tak boleh sampai balik ke kampung," contohnya. Sedangkan ada kalangan tuk-tuk alim yang bisa pergi ke sesuatu tempat secara ghaib; ditemui orang di Mekah umpamanya. Arwah tuk guru teman pun biasa terbang dengan hanya melukis rajah kapal terbang di atas tanah ketika berada dalam penjara di Penjara Taiping. Perlu diingat, logik akal adalah logik yang berteraskan sekularisme (jangan mudah terperangkap!). Ia hanya mengikis kepercayaan kepada alam malakut dan jabarut (alam-alam ghaib dan kekuasaan Allah Yang Maha Besar).

Sekadar hiasan...

Jadi dalam hal memakai azimat itupun menurut sesetengah alim-ulama diperbolehkan siap dengan hujahnya seperti dalam penggunaan ubat tersebut. Oleh itu jika memakai azimat daripada ayat-ayat al-Quran atau menggunakan nama-nama Allah swt untuk menjaga daripada gangguan syaitan, iblis, jin atau meminta agar dijauhkan daripada sihir perbuatan orang yang zalim atau dengan tujuan keharmonian hubungan suami-isteri, antara madu dan dua orang bersahabat dsb maka ia dibolehkan - dengan bergantung kepada berkat kesuciannya. Apa yang penting niat itu yang mesti dijaga.

A.  Jika bertujuan untuk keharmonian hubungan suami-isteri supaya jangan bergaduh dan tidak mudah berselisih faham atau hubungan baik di antara dua wanita yang bermadu (supaya kedua-duanya dapat hidup rukun dan damai; atau di antara dua sahabat agar akrab dan berbaik-baik:
  i)  Ambilkan benang kain atau baju panjang/kebaya atau baju kemeja daripada kedua-dua suami-isteri atau madu berkenaan ataupun dua sabahat tersebut.
 ii)  Pilinkan (pintal) kedua-duanya menjadi satu dan ketika memilinnya dibaca surah Ali-Imran: 103 dan 104 serta disambung dengan ayat ke-13 surah al-Hujuraat. Setiap satu pilin dibaca ayat berkenaan sampai 7 pilin/pintalan.
 iii)  Apabila siap diberikan kepada kedua-duanya untuk diikatkan pada pinggang atau lengan masing-masing.
InsyaAllah aman.

Erti daripada doa ayat tersebut - Surah Ali-Imran 103-104;

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah menjadi orang-orang yang bersaudara dan kamu telah berada di tepi jurang neraka. Lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk.

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan/kebajikan menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung."

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan." -  al-Hujuraat: 13

Doanya;
Ya Allah, satu hatikanlah (hidup mesrakanlah) antara kedua............. si fulan ibnu si fulan dengan........... si fulanah sebagaimana hidup mesra antara Nabi Musa dan Harun dan sebagaimana hidup mesra (harmoninya) antara Nabi Adam dan Hawa, dan sebagaimana mesranya antara Jibril dengan Mikhail. Ya Allah, mesra dan hatikanlah antara............. si fulan ibnu si fulan dengan.............. si fulanah ibnu si fuulanah dan semisal kalimat thoiyyibah seperti pohon thoyyibah.

B.  Apabila seseorang yang berusaha untuk menjadi pemimpin atau ketua (presiden, imam atau kadhi) lakukan seperti berikut;
i)  Dituliskan ayat al-Quran dari surah al-Hijr: 16-17 dan juga ayat dari surah Ali-Imran: 103-104 tadi di atas kulit kijang dengan tinta kuma-kuma.
ii)  Selepas ditulis, maka berpuasalah pada hari Khamis sehingga terbenam matahari.
iii)  Pada malam Jumaat itu, sesudah solat maghrib maka dibacalah kedua-dua ayat yang ditulis pada kulit kijang itu 40 kali.
iv) Dalam membaca kedua-dua ayat itu  gambarkan apa yang dihajat dan dimaksudkan?
v)  Kemudian sehabis pembacaan ayat-ayat itu barulah dipakai azimat berkenaan.
vi)  Sebelum berhasil apa yang dihajatkan itu, wiridkan (baca) kedua-dua ayat itu sesudah solat subuh dan maghrib 3 kali.
vii)  Erti daripada ayat 16-17 surah al-Hijr itu ialah;
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandangnya, dan Kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk."
viii)  Mudah-mudahan dengan memakai azimat tersebut dan dengan mewiridkan ayat al-Quran berkenaan akan segera berhasil apa yang dimaksudkan. Dan harus diingat, jangan sekali-kali membawa azimat berkenaan ke tempat yang najis.